Disebabkan terlalu kerap dibandingkan, pelakon asal Sabah, Tracie Sinidol, mengaku ramai peminat mencadangkan agar dia melakukan ujian DNA (Asid deoksiribonukleik) untuk mengetahui sama ada dia mempunyai pertalian darah dengan aktres terkenal, Mira Filzah.
Bagaimanapun, Tracie, 23, menganggap permintaan tersebut hanya sekadar gurauan peminat semata-mata.
“Ada yang bertanya, tak mahu ke buat ujian DNA dengan Mira? Manalah tahu kalau ada pertalian darah.
“Saya hanya menjawab bahawa asal-usul kami berbeza dan memang mustahil kerana ibu bapa kami juga berlainan.
“Ada juga yang berseloroh yang kata mungkin kami kembar yang terpisah, tetapi saya tak ambil hati dan menganggap semua itu sebagai jenaka,” katanya kepada XTRA.
Tracie berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan episod akhir Gadis Semasa baru-baru ini.
Dalam pada itu, Tracie menjelaskan, dia tidak pernah merasa bosan apabila wajahnya sering disamakan dengan ibu anak satu itu malah, menyifatkan ia sebagai salah satu rezeki.
“Kadang-kadang, suara kami pun hampir sama. Sampai saya sendiri keliru ketika menonton video di TikTok. Ingatkan itu suara saya, rupanya Mira.
“Orang kata kalau saya bertudung, wajah kami nampak hampir 100 peratus sama. Tapi sebenarnya tidak.
“Kalau saya tidak memakai tudung, wajah saya lebih mirip dengannya berbanding berhijab. Itu yang kami perasan ketika membuat konten promosi untuk jenama tudung Mira.
“Saya tidak bosan, malah menganggap semua itu sebagai komen positif dan rezeki dalam bidang seni,” jelasnya.