SEOUL – Mahkamah Korea Selatan pada Jumaat membatalkan waran tangkap terhadap bekas Presiden yang dipecat, Yoon Suk Yeol, namun beliau masih ditahan sementara pihak pendakwaan dijangka mengemukakan rayuan.
Peguam Yoon sebelum ini memfailkan permohonan untuk membatalkan waran tangkap itu, mendakwa penahanan beliau tidak sah kerana pihak pendakwaan mengambil masa terlalu lama untuk mendakwanya.
“Adalah munasabah untuk menyimpulkan bahawa dakwaan dibuat selepas tempoh penahanan defendan telah tamat,” menurut dokumen Mahkamah Daerah Pusat Seoul.
Mahkamah juga menegaskan bahawa keputusan membatalkan tahanan dibuat bagi memastikan kejelasan prosedur dan menghapuskan sebarang keraguan mengenai kesahihan proses siasatan.
Yoon dipecat dan ditahan selepas mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu, tindakan yang mencetuskan kekacauan politik di negara itu.
Namun, pembatalan waran tangkap itu tidak bermakna beliau akan dibebaskan serta-merta.
“Walaupun mahkamah membatalkan tahanan, defendan tidak akan dibebaskan serta-merta,” kata peguamnya, Seok Dong-hyeon.
“Pembebasan hanya akan berlaku jika pendakwa menarik balik hak untuk merayu atau tidak memfailkan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan,” tambahnya.
Setakat ini, pihak pendakwaan belum memberi sebarang maklum balas berhubung keputusan mahkamah itu.
Parti pembangkang, Parti Demokratik, mengkritik keputusan mahkamah dan mendesak pendakwaan segera merayu untuk memastikan keadilan ditegakkan.
Yoon, seorang bekas pendakwa raya, mencetuskan krisis demokrasi di Korea Selatan pada Disember lalu apabila menggantung pentadbiran awam buat sementara waktu dan mengerahkan tentera ke Parlimen.
Tindakan itu membawa kepada pemecatan beliau oleh ahli Parlimen hanya beberapa jam selepas perintah darurat tersebut diumumkan.
Yoon kini berdepan perbicaraan pemecatan di Mahkamah Perlembagaan, yang akan menentukan sama ada keputusan Parlimen untuk menggugurkan beliau sebagai presiden adalah sah.
Perbicaraan itu telah berakhir minggu lalu, dan lapan hakim Mahkamah Perlembagaan akan membuat keputusan secara tertutup. Keputusan dijangka diumumkan pertengahan Mac.
Sekiranya pemecatan beliau disahkan, Korea Selatan perlu mengadakan pilihan raya presiden baharu dalam tempoh 60 hari. – AFP