Usahawan dan pempengaruh, Ridzuan Ridzokumura, menafikan dakwaan ubat-ubatan milik Allahyarham isterinya, Akiko Okumura, telah dirampas, sebaliknya dirinya sendiri yang menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Ridzuan, atau nama sebenarnya Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 50, menjelaskan dia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang mengendalikan kes kematian isterinya.
Dalam nada sebak, Ridzuan mengakui hatinya terguris apabila laporan mendakwa ubat-ubatan tersebut ‘dirampas’, kerana bimbang kenyataan tersebut boleh mencetuskan salah faham terhadap arwah isterinya.
“Pihak polis minta saya beri kerjasama, semua saya ikut dah bagi keterangan yang jujur. Tetapi saya tak boleh terima kenyataan ubat Arwah Akiko dirampas. Ubat itu bukan dirampas, saya yang bagi minta pihak berkuasa ambil.
“Saya ada hati dan perasaan… Saya jadi sedih sebab dirampas bunyi dia macam dipaksa… Saya teasa hati sangat bila keluar kenyataan ubat Akiko dirampas, bukan dirampas… Itu saja saya nak sampaikan,” katanya menangis teresak-esak.
Ridzuan berkata demikian menerusi sesi siaran langsung yang dilakukannya pada pagi, Jumaat.
‘Badan Masih Lemah, Menggigil’
Berkongsi keadaan terkini, Ridzuan memaklumkan dirinya masih rasa ‘kehilangan’ akibat pemergian mengejut isterinya pada Jumaat lalu, malah kondisinya badannya dikatakan semakin lemah.
“Mereka tahu tak keadaan saya macam ni, saya rasa ‘lost’. saya baru nak tenang tiba-tiba keluar berita macam ni. Badan saya lemah, menggigil badan.
“Saya makin hari makin tak tenang, macam-macam kenyataan yang keluar. Saya jadi lemah sangat-sangat. Kalau saya tak kuat macam mana dengan Sky? Sky tak pergi sekolah lagi, saya tak bagi sebab saya takut dia tertekan,” katanya.
‘Berhenti Hina Arwah Isteri & Anak’
Dalam pada itu, Ridzuan secara terbuka memaafkan segelintir pihak yang melontarkan kata-kata hinaan terhadapnya, namun berharap agar netizen berhenti membuat tanggapan negatif atau mengkritik anak serta arwah isterinya.
“Kepada siapa yang salah anggap, saya maafkan tapi tolonglah kalau nak hina saya pun saya terima. Cuma saya minta sangat jangan hina anak dan arwah isteri, saya tak sanggup. Arwah orang baik, tuhan saja tahu,” katanya.
@xtra_my Ubat Arwah Akiko bukan ‘dirampas’… Allah. peritnya tengok Ridzuan Ridzokumura menangis teresak-esak 🥹 #fyp #xtra #ubat #akiko #ridzuanridzokumura #menangis #polis #rampas #beritaditiktok #sembangentertainent
Terdahulu, pihak polis mengesahkan telah mengambil enam jenis ubat dari kediaman Ridzuan bagi membantu siasatan kematian Akiko Okumura pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa kes ini masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan tetap diteruskan dengan mengambil kira pelbagai aspek.
Artikel Berkaitan: Polis Rampas 6 Jenis Ubat Dari Kediaman Ridzokumura Untuk Siasatan Kematian Akiko