surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Balai Polis Bukit Jalil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri wang RM300,000 termasuk sebuah beg jenama mewah daripada seorang individu di sebuah kondominium, bulan lalu.
Tertuduh, Inspektor Azlan Sudin, 45, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa mencuri RM300,000 dan sebuah beg Prada hitam milik wanita berusia 35 tahun di sebuah unit kondominium di Bukit Jalil, antara jam 5.45 petang hingga 6.20 petang, 21 Februari lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda.
Farah Nabihah membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa dan peguam Huang Yee Ching mewakili tertuduh.
Mahkamah menetapkan 21 Mei untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di mahkamah majistret berasingan, Azlan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak menangkap seorang lelaki yang terbabit dengan jenayah.
Mengikut pertuduhan, Azlan sebagai anggota polis berpangkat Inspektor yang berkewajipan di sisi undang-undang menangkap lelaki berusia 35 tahun kerana terbabit dalam kesalahan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang mana dengan sengaja meninggalkan daripada menangkap orang itu.
Kesalahan itu dilakukan di lobi Balai Polis Bukit Jalil, Cheras antara jam 6.50 petang hingga 7 petang, 21 Februari lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 221(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Huang memohon jaminan minimum berikutan anak guamnya memberikan kerjasama penuh ketika dalam siasatan.
“Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, bekerja sebagai Ketua Balai Polis Bukit Jalil dengan pendapatan RM4,000.
“Anak guam sudah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 25 tahun dan tiada aduan terhadapnya selama ini.
“Sebelum tertuduh direman, tertuduh pernah serah diri sebanyak dua kali untuk membantu siasatan, kami mohon supaya jaminan rendah dan bersesuaian dengan keupayaan kewangannya dan tidak membebankan,” katanya.
Mendengar perkara itu, Majistret Noorelynna Hanim Halim membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei untuk sebutan kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd