syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Linda Hashim, 41, tidak menghalang suaminya, Beego, 45, untuk bertemu dengan tiga anak mereka.
Malah, Linda sangat menggalakkan Beego untuk mengambil berat mengenai anak-anak mereka.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki tak ada masalah. Janji kita berbincang.
“Saya sangat-sangat memberi keizinan. Saya tidak menghalang dia berjumpa anak-anak. Saya sangat galakkan. Saya nak dia ambil tahu anak-anak, selalu jumpa dia. Walaupun anak-anak ada dengan saya, tetapi tak ada masalah,” katanya.
Sementara itu, Beego turut meluahkan hasrat untuk meraikan Aidilfitri sebagai sebuah keluarga.
“Saya harapkan, kami bersatu balik bersama anak-anak. Kalau dapat beraya sekeluarga, itu yang paling utama.
“Saya masih di rumah kelamin sendirian. Anak-anak dengan Linda dan menetap di tempat lain,” katanya.
Meraikan Ramadan sendirian, Beego yang bertemu anak-anaknya kali terakhir pada Sabtu lalu merasakan bahawa Ramadan akan lebih indah jika bersama keluarga.
“Sebelum ini pun seorang diri, dah empat bulan. Tapi, lebih baik kalau ada isteri dan anak-anak,” katanya.
Beego dan Linda pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 sekali gus hadir bersama ke mahkamah bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Linda bagaimanapun memaklumkan mereka bercerai kali kedua selepas beberapa bulan rujuk kerana masalah sama iaitu tiada persefahaman walaupun mendakwa sudah banyak kali peluang diberikan.
Mereka mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak perempuan, Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6.
© New Straits Times Press (M) Bhd