Worldwide Holdings tunai zakat perniagaan RM2.9 juta

Worldwide Holdings tunai zakat perniagaan RM2.9 juta
Worldwide Holdings tunai zakat perniagaan RM2.9 juta

Worldwide Holdings menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2.9 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun 2025 haul 2024.

ANAK syarikat kerajaan negeri Selangor, Worldwide Holdings Berhad (WHB) menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2.9 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun 2025 haul 2024.

Penyerahan bayaran zakat oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Isnin.

Menurut Norazlina, beliau percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat tidak hanya diukur dari segi keuntungan, namun sumbangan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Sultan Sharafuddin berkenaan menerima zakat perniagaan yang disumbangkan Worldwide Holdings kepada Lembaga Zakat Selangor.

Sultan Sharafuddin berkenaan menerima zakat perniagaan yang disumbangkan Worldwide Holdings kepada Lembaga Zakat Selangor.

“Sumbangan zakat ini merupakan sebahagian komitmen jangka panjang syarikat dalam membangunkan masyarakat secara lestari dan progresif, serta memperkukuhkan kesejahteraan sosial di Selangor.

“WHB berusaha dalam memenuhi misi menyumbang semula kepada rakyat Selangor dan membantu pihak LZS merealisasikan dan mengembangkan perancangan berkaitan pembangunan sosio ekonomi golongan asnaf seperti inisiatif pendidikan dan sosial menerusi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Worldwide Prihatin,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Norazlina, antara inisiatif itu termasuk kerjasama strategik WHB bersama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) bagi menyediakan alat bantuan pendidikan untuk para pelajar di bawah naungan YRMS.

Selain itu, beliau berkata, setiap tahun WHB merupakan antara penaja bersama Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) dan antara penderma penubuhan Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda menerusi sumbangan rintis berjumlah RM100,000.

“Sumbangan tersebut telah dimanfaatkan oleh pihak yayasan untuk menaik taraf perpustakaan Pustaka Raja Tun Uda dengan meningkatkan kemudahan buat para pengunjung orang kurang upaya (OKU),” ujarnya.

Scroll to Top