Grab perkenal pas diskaun tanda sokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN

Grab perkenal pas diskaun tanda sokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN
Grab perkenal pas diskaun tanda sokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN

(Depan, dari kiri) Pengarah Urusan Hal Ehwal Awam Grab, Lim Yew Heng; Setiausaha Agung ASEAN; Dr Kao Kim Hourn; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Tengku Zafrul dan Rashid.

GRAB Malaysia memperkenalkan ‘Grab ASEAN Delegate Pass’ yang menawarkan diskaun eksklusif bagi pengangkutan, makanan dan kedai serbaneka khusus kepada deligasi yang hadir ke negara ini sempena Kepengerusian ASEAN.

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, inisiatif tersebut merupakan tanda sokongan kepada kerajaan dalam menggalas tugas sebagai Pengerusi ASEAN.

“Menerusi hashtag #GrabBersamaASEAN, Grab akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkukuh peranan Malaysia dalam ASEAN sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan komuniti.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memberi pengalaman terbaik kepada delegasi ASEAN yang hadir ke Malaysia sekali gus mempromosikan negara ini sebagai destinasi mesra dan moden melalui platform Grab,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu Rashid memaklumkan, inisiatif tersebut telah dinyatakan semasa pertemuan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini.

Menurutnya, Grab Malaysia akan memanfaatkan platform teknologi untuk memperkasa pelbagai inisiatif ASEAN dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kerjasama serantau pengguna aplikasi itu di seluruh rantau.

“Grab berbangga untuk menyokong peranan kepimpinan kerajaan dalam memajukan visi ASEAN.

“Ini selaras dengan misi kami untuk memberdayakan komuniti melalui teknologi mudah akses dan penyelesaian inovatif demi masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

“Grab Malaysia turut menantikan kerjasama untuk mencipta peluang bermakna bagi komuniti di Malaysia dan seluruh rantau,” ujarnya.

Scroll to Top