GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menegaskan, tindakan mesti diambil tahun ini untuk melindungi penduduk dunia daripada kesan ‘malapetaka’ akibat perubahan iklim.
Menjelang sidang kemuncak penting yang diadakan oleh Amerika Syarikat (AS), PBB memberi amaran masa kian suntuk untuk menangani krisis terbabit, dengan pandemik COVID-19 gagal menghentikan masalah perubahan iklim yang ‘berterusan’.
Gesaan itu disuarakan seiring pelancaran laporan penting menjelang penganjuran sidang kemuncak iklim oleh Presiden AS, Joe Biden, yang dijadualkan bermula Khamis ini.
Seramai 40 pemimpin dunia dijemput menghadiri persidangan maya itu yang bertujuan menggembleng usaha ekonomi utama untuk menangani krisis iklim global.
“Kita sedang berada di ambang jurang,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, pada sidang media ketika melancarkan laporan ‘State of the Global Climate 2020’ oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) bawah PBB.
“Ini adalah tahun yang benar-benar sangat penting untuk masa depan manusia.
“Laporan ini menunjukkan bahawa kita tidak ada masa untuk dibuang lagi, bencana gangguan iklim sudah tiba,” katanya sambil menggesa negara di serata dunia supaya ‘mengakhiri perang terhadap alam semula jadi.’
Laporan itu menggambarkan 2020 sebagai salah satu tahun paling panas yang pernah direkodkan, manakala kepekatan gas rumah hijau meningkat walaupun berlaku kelembapan ekonomi susulan penularan COVID-19.
“Tahun lalu menampilkan ‘gangguan iklim dan cuaca ekstrem’ didorong perubahan iklim antropogenik, yang menjejaskan nyawa, memusnahkan mata pencarian serta memaksa jutaan orang meninggalkan tempat tinggal mereka.
“Ini adalah tahun untuk bertindak. Negara di serata dunia perlu komited untuk mencapai pelepasan sifar menjelang 2050.
“Tindakan harus diambil sekarang untuk melindungi manusia daripada kesan malapetaka akibat krisis perubahan iklim,” kata Guterres. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd