YBR dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Prihatin Beruas bantu 400 pelajar dari keluarga B40

YBR dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Prihatin Beruas bantu 400 pelajar dari keluarga B40

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Masyarakat Prihatin Beruas memperuntukkan dana RM40,000 bagi membantu 400 pelajar dalam kalangan keluarga berpendapat rendah.

YBR dalam kenyataan hari ini berkata, bantuan itu diberikan bagi membantu meringankan beban keluarga sempena sesi persekolahan.

“Bantuan ini bertujuan memberi bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai insentif tambahan menyediakan peralatan persekolahan yang diperlukan sepanjang sesi pembelajaran dijalankan.

“Sebanyak RM40,000 diperuntukkan kepada 400 pelajar dari kalangan keluarga B40 dalam satu majlis penyerahan di Beruas, Manjung, Perak, hari ini,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bantuan itu diserahkan kepada penerima di Dewan Inderawati, Beruas, yang disempurnakan oleh Senator Datuk Dr Azhar Ahmad.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdyl Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Azhar dalam ucapannya berkata, beliau mengharapkan sokongan berterusan pihak YBR membantu pelajar kurang berkemampuan khususnya di sekitar Beruas.

“Saya berharap YBR akan terus maju jaya dan dapat menjayakan program berunsurkan pendidikan dengan lebih banyak terutamanya di sekitar kawasan Perak.

“Bantuan seumpama ini diperlukan bagi mereka yang berada di luar kawasan bandar untuk menarik minat hadir ke sekolah.

“Diharapkan bantuan ini dapat membantu ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top