lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengagihan dividen 6.30 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2024 menandakan pulangan pelaburan yang tinggi kepada pencarum.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar dividen diumumkan KWSP itu lebih tinggi berbanding Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Menurutnya, hal ini memberi manfaat pulangan tinggi kepada pencarum selari objektif memastikan setiap pencarum mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.
Beliau berkata, faktor utama membolehkan KWSP mengekalkan prestasi pelaburan kukuh dalam ketidaktentuan ekonomi global ketika ini adalah dari segi strategi atau pelaburan aset yang lebih bertumpu kepada pasaran domestik pada tahun lalu.
“Kita lihat politik dalam negara agak stabil berbanding dengan geopolitik di luar dan perusahaan Malaysia turut menunjukkan peningkatan mata melebihi 12 peratus.
“Ini membantu memastikan kestabilan dan pertumbuhan jangka panjang pencarum kerana fokus utama KWSP, selain memastikan pencarum mendapat pulangan pelaburan yang tinggi, ia juga mahu memastikan aset yang dilaburkan akan sentiasa berkembang dan di situ kita lihat strategi KWSP mempelbagaikan pelaburannya,” katanya kepada Harian Metro.
Ahmed Razman berkata, walaupun pelaburan ekuiti dijadikan tumpuan utama, namun KWSP juga melabur dalam instrumen pasaran wang dan hartanah untuk tidak terlalu bergantung kepada satu jenis aset pelaburan.
“Pelaburan KWSP juga terpecah kepada dua iaitu domestik dan antarabangsa supaya apa-apa peluang yang ada di peringkat antarabangsa juga turut dapat memberi manfaat kepada pelaburan KWSP.
“Kestabilan dan pengurusan KWSP akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan kerana apabila pelabur asing melihat prestasi KWSP, ia akan memberi petanda bahawa pasaran negara kita boleh memberikan pulangan yang sewajarnya kepada pelabur.
“Apabila KWSP memperolehi pulangan tinggi daripada pelabur domestik, ini akan menarik pelabur asing untuk turut melabur sama di pasaran domestik.
“Itulah yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan kerana pelaburan yang masuk itu mampu meningkatkan potensi penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi dan juga peningkatan aktiviti ekonomi di negara kita sekali gus memberi hasil yang lebih tinggi kepada kerajaan dan kemakmuran kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menjangkakan KWSP akan lebih berhati-hati untuk melabur di peringkat global kerana ketidaktentuan ekonomi global terutamanya pengumuman polisi Amerika Syarikat masih lagi berlaku sehingga kini.
“Selain itu, ada beberapa krisis seperti perang antara Rusia – Ukraine juga masih berterusan, perang takrif antara Amerika Syarikat dan beberapa negara termasuk China juga masih berlaku.
“Saya lihat kemungkinan KWSP akan mengekalkan strategi yang sama seperti tahun lalu iaitu penumpuan kepada pelaburan di peringkat domestik.
“Walaupun mungkin ada pilihan raya di Sabah (tahun ini), tetapi saya melihat secara keseluruhannya faktor politik di negara kita yang stabil mungkin akan mendorong KWSP akan berterusan melabur di peringkat domestik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd