Isteri didakwa bunuh suami

Isteri didakwa bunuh suami

KAJANG: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya di sebuah pangsapuri, pada dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan tertuduh, Hew Pit Lee, 59, kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian terhadap suaminya, Wong Chee Min, 61, pada 16 Februari lalu, di antara pukul 10.30 dan 11 pagi di sebuah pangsapuri di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, manakala Pit Lee tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 April ini.

Pada 17 Februari lalu, akhbar ini melaporkan seorang lelaki maut selepas ditikam isterinya dalam kejadian di hadapan rumah mereka di sebuah pangsapuri di Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang bekerja sebagai kontraktor.

Menurut Naazron, suspek yang berusia 59 tahun dan merupakan isteri kepada mangsa telah ditahan serta direman selama lima hari bermula 17 hingga 21 Februari bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Scroll to Top