Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa negaranya bersedia untuk menyambung semula serangan terhadap Hamas.
Ini selepas dakwaannya terhadap kumpulan pejuang Palestin menuduh Israel menggugat gencatan senjata di Gaza yang sudah bertahan selama lima minggu apabila Israel menangguhkan pembebasan tahanan.
Fasa pertama gencatan senjata yang sebahagian besarnya menghentikan peperangan selama lebih 15 bulan di Gaza dijangka berakhir awal Mac, namun perincian mengenai fasa seterusnya masih belum dipersetujui.
Ketegangan kembali memuncak apabila Israel pada Ahad mengumumkan perluasan operasi ketenteraannya terhadap pejuang Palestin di Tebing Barat yang diduduki, yang menjadi kawasan lain yang menyaksikan peningkatan keganasan sepanjang perang di Gaza.
Berucap di satu majlis ketenteraan sehari selepas Israel menghentikan pembebasan ratusan tahanan Palestin sebagai pertukaran kepada enam tebusan yang dibebaskan dari Gaza, Netanyahu berikrar mencapai objektif perang itu sama ada menerusi rundingan “atau dengan cara lain”.
“Kami bersedia untuk meneruskan pertempuran sengit pada bila-bila masa,” katanya.
Sejak gencatan senjata bermula pada 19 Januari, pejuang Gaza membebaskan 25 tebusan Israel dalam upacara yang dikawal ketat, sering kali dengan kehadiran lelaki bersenjata bertopeng.
Selepas enam lagi dibebaskan pada Sabtu, Israel menangguhkan pembebasan lebih 600 tahanan Palestin dengan alasan apa yang Netanyahu sifatkan sebagai “upacara yang memalukan” di Gaza.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa yang menguruskan pertukaran tebusan-tahanan sebelum ini merayu kepada “semua pihak” supaya pertukaran itu dilakukan dengan “bermartabat dan secara peribadi”.
Pegawai kanan Hamas, Bassem Naim berkata, penangguhan pembebasan tahanan boleh “mengancam keseluruhan perjanjian”.
Beliau menggesa pihak perantara gencatan senjata, “terutamanya Amerika Syarikat” untuk mendesak Israel “melaksanakan perjanjian seperti yang dipersetujui dan segera membebaskan tahanan kami”.
Kedua-dua pihak saling menuduh berlaku pelanggaran sepanjang gencatan senjata, tetapi setakat ini gencatan senjata masih bertahan.
Israel bersumpah untuk menghancurkan Hamas selepas serangan kumpulan itu pada 7 Oktober 2023, dan mengembalikan semua tebusan yang diculik pada hari itu sebagai sebahagian daripada objektif peperangannya.
Serangan Hamas mengorbankan lebih 1,200 orang, manakala serangan Israel menyebabkan lebih 48,000 kematian di Gaza, menurut angka daripada kedua-dua pihak.
Selain perang di Gaza yang mengakibatkan hampir keseluruhan 2.4 juta penduduknya terpaksa meninggalkan kediaman mereka, Israel juga meningkatkan operasi ketenteraan di Tebing Barat.
Menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Israel, 40,000 penduduk Palestin dipaksa meninggalkan kem pelarian di utara Tebing Barat sejak serangan besar Israel bulan lalu.
Tentera Israel turut mengumumkan penghantaran divisyen kereta kebal ke Jenin, kali pertama dalam tempoh 20 tahun kawasan itu menyaksikan kehadiran kenderaan perisai berat.
© New Straits Times Press (M) Bhd