Ada ketikanya terfikir kelakar tahap gaban apabila seorang ketua kita dalam mesyuarat atau semua arahannya penuh dengan kata-kata herdik, maki hamun semua ada, lebih-lebih lagi perangai menghentak meja atau membaling fail.
Terkedu semua anak buah sambil tunduk membisu apabila ketua itu memberi arahan dengan muka ketat yang tidak boleh cari makan, tapi alamak apabila isteri yang menelefon, semuanya bertukar rentak dan kata-kata syahdu macam penyanyi lagu romantis pula.
Apa dah jadi, muka selalu ketat tapi dalam hati ada taman sebenarnya ketua kita ini.
Seorang ketua yang garang sering kali digambarkan sebagai individu yang tegas dan berwibawa. Sikapnya yang keras dan tidak kompromi dalam membuat keputusan sering kali menimbulkan rasa takut dan hormat dalam kalangan ahli kumpulannya.
Ketua jenis ini biasanya mempunyai visi jelas dan matlamat yang hendak dicapai dan sanggup melakukan apa saja untuk mencapainya. Walaupun kadangkala dianggap terlalu berat sebelah atau tidak adil, ketua yang garang ini sebenarnya mempunyai niat baik untuk memastikan disiplin dan keberhasilan organisasi atau kumpulan dipimpinnya.
Namun, adalah penting bagi seorang ketua untuk menimbang mengenai keseimbangan antara kegarangan dan kelembutan agar tidak menghilangkan semangat kerjasama dan keharmonian dalam kumpulan.
Lain pulak di satu sudut lagi. Seorang bouncer atau penarik kereta tiba-tiba melelehkan air mata? Seorang samseng dan kaki pukul sayangkan kucing? Seorang mat rempit menangis teresak-esak ditinggalkan kekasih? Seorang bermuka pecah kondo menangis bila menonton filem Hindustan? Sungguh-sungguh ironik.
Inilah yang dinamakan dalam hati ada taman. Bagi orang seperti ini, perwatakan mereka memang nampak keras dan ganas, tetapi ada satu sudut yang lebih lembut di dalam hati mereka, ala-ala ada taman bunga.
Ingat lagikah anda kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush? Siapa yang tidak ingat dengan seorang yang tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan. ‘Jasa terbesar’ yang pernah dilakukannya kepada dunia ialah menyerang Iraq dan menamatkan riwayat Presiden Saddam Hussein.
Namun, beliau masih dikenang sehingga kini di atas sifatnya yang kejam itu dan sisi halus mulusnya ala-ala ‘dalam hati ada taman’. Tapi, jangan silap, bukannya taman bunga, tapi taman haiwan ataupun taman permainan kanak-kanak. Apa tidaknya, dia terkenal apabila kerap mengeluarkan banyak kenyataan bodoh dan lucu sepanjang pentadbirannya.
Perlakuannya juga adakalanya ala-ala Mr Bean. Sebagai contoh, membaca buku kanak-kanak dengan berkeadaan terbalik, meneropong dengan penutupnya masih tertutup dan banyak lagi quote tidak masuk akal yang dikeluarkannya.
Menurut ilmu psikologi dan kaunseling, berikut adalah perbezaan antara lembut, tegas dan garang.
Lembut: Saya tak okay, anda okay. Garang: Saya okay, anda tak okay. Tegas: Saya okay, anda okay.
Pendekatan lembut dan garang adalah pendekatan ekstrem. Lembut adalah keterlaluan positif manakala garang keterlaluan negatif. Lembut menyebabkan perasaan kita merana kerana ingin menjaga perasaan sesama.
Sebaliknya, garang menyebabkan perasaan kita terjaga dan puas kerana dapat meluahkan segala kemarahan dalam jiwa manakala anak bawahan memendam dendam dalam hati. Keseimbangan antara kedua-dua garis hujung berkenaan adalah pendekatan tegas. Tegas membuatkan perasaan kedua-dua belah pihak terjaga. Kekerasan mendatangkan kesan yang sebentar saja.
Misalnya, ketika si penguat kuasa ada, manusia akan berdisiplin. Ketika si penguat kuasa tiada, individu terbabit akan kembali kepada tabiat asal mereka. Kesimpulannya, walau apa pun watak kita, hati tetap mahu baik, tanpa hati baik, siapa pun tidak ingin berkawan dengan kita.
Sebaliknya, ramai akan mendoakan kejatuhan dan kemusnahan kita. Percayalah, sisi cerah dan halus dalam diri seseorang itu boleh membuatkan orang yang selama ini panas hati dengannya sejuk hati semula.
Kalau boleh, letakkan ‘taman-taman syurga’ di hati kita semua. Baharulah hidup akan lebih bererti di dunia dan di akhirat.
Baharulah terbitnya kasih sayang dan saling menghormati sesama insan seagama dan
semasyarakat, mahupun senegara. Sengketa tiada, berukun damai lalu hidup seperti berada di taman syurga.
Akan tetapi lalau kalam hati ada taman bunga sampaikan asyik jadi Mat Bunga atau Minah Bunga tak guna juga. Asyik mabuk nak bercinta aje kerjanya, tak ada kerja lain.
Sudah jadi macam cerita Hantu Kak limah..’Kita bakor aje.’
Semoga kita semua dapat bekerja dengan seorang ketua yang baik dan bersopan santun, ada visi dan misi serta bersikap sangat menjaga anak buahnya.
Keadaan ini dapat mewujudkan keadaan persekitaran kerja yang sangat baik dan menghasilkan input kerja sangat positif.
Penulis pensyarah, pakar motivasi & penceramah bebas
© New Straits Times Press (M) Bhd