am@hmetro.com.my
Port Dickson: Sepasang suami isteri diuji dengan anak kedua menghidap hemangioma atau pertumbuhan saluran darah tidak normal dan juga masalah jantung tersumbat.
Anak pasangan Farah Nadia Khalid, 32, dan Wan Hibatul Haziq Habib, 27, Wan Niyaz Mukhriz yang kini berusia enam bulan turut disahkan menghidap sindrom budd chiari yang menyebabkan perutnya membesar sehingga 52 sentimer (sm).
Menurut Farah Nadia, sepanjang kehamilan, doktor beritahu yang kandungannya berisiko dan berpotensi dilahirkan dalam keadaan kesihatan kurang sempurna.
“Bila doktor beritahu macam itu, saya terkejut namun saya dan suami pasrah dengan dugaan itu, hanya berserah kepada Allah dan Alhamdulillah, bayi saya selamat dilahirkan tanpa sebarang komplikasi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rumah Rakyat Pengkalan Durian di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, katanya, anaknya itu kemudian dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) untuk pemeriksaan lanjut sebelum disahkan menghidap hemangioma dan mempunyai masalah jantung tersumbat.
Menurutnya, selepas sebulan keluar dari NICU, anaknya disahkan pula mempunyai masalah sindrom budd chiari yang menyebabkan perutnya membesar.
“Keadaan perut anak saya ini makin membesar sehingga 52 sm berbanding sebelum ini 44 sm dan itu membuatkan saya dan suami risau, namun kami tidak akan berhenti berikhtiar agar dia pulih seperti bayi yang normal.
“Doktor kata tak pasti sama ada perut dia akan membesar lagi atau tidak dan buat masa ini, doktor cuma buat pemantauan manakala kami bawa dia menjalani rawatan susulan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan Hospital Serdang, Selangor berkenaan masalah jantungnya,” katanya.
Pada masa sama, Farah Nadia dan suami turut berikthiar dengan membuat rawatan alternatif dan mendapatkan maklumat daripada pakar perubatan lain.
“Sebagai ibu, tentunya saya bersabar serta terus berusaha untuk cari rawatan terbaik dan yakin dengan izin Allah, dia akan sihat nanti.
“Dari segi kos perubatan, Alhamdulillah setakat ini ramai membantu dan Baitulmal pun ada beri bantuan susu khas.
“Sekarang ini saya hanya cuba berikhtiar dan berharap ada keajaiban untuknya untuk pulih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd