Bergaya tanpa kos mahal

Bergaya tanpa kos mahal

razis@mediaprima.com.my

Berfesyen sering dikaitkan dengan keperluan untuk mengeluarkan kos tertentu bagi memenuhi gaya yang ingin diketengahkan.

Ramai yang beranggapan seseorang itu perlu membeli pakaian yang baharu supaya penampilannya nampak bergaya dan berfesyen.

Persepsi bahawa mesti memiliki pakaian baharu untuk bergaya itu memberi cabaran kepada individu yang berdepan kekangan kewangan.

Sekiranya berdepan dengan situasi ini, anda tidak boleh menjadikan kekangan kewangan sebagai penghalang untuk bergaya dan berfesyen.

Anda sebenarnya masih boleh tampil anggun dan bergaya tanpa perlu berbelanja besar.

Malah dengan menggunakan pakaian yang sedia ada, anda berkemungkinan tidak perlu mengeluarkan sebarang kos.

WM ingin berkongsi beberapa panduan untuk bergaya tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar.

1. Senaraikan pakaian sedia ada

Kecenderungan membeli pelbagai jenis pakaian menyebabkan kadang kala kita terlupa kewujudan pakaian itu. Senarai pakaian dapat membantu anda untuk mengetahui jumlah pakaian, jenis, warna dan sebagainya. Selain itu, senarai ini dapat memudahkan anda tentukan gaya yang diinginkan dengan memadankan pakaian yang sedia ada.

2. Periksa dan kemas almari pakaian

Dengan meluangkan masa untuk memeriksa almari, anda dapat menjimatkan wang untuk membeli pakaian baharu. Melalui langkah ini anda akan menemui semula pakaian yang mungkin hanya dipakai sekali atau tidak pernah dipakai selepas ia dibeli beberapa tahun lalu kerana kedudukan pakaian yang agak tersorok atau terjatuh di bawah almari. Anda boleh mengeluarkan semua pakaian dan menyusunnya kembali dengan lebih kemas. Bagi pakaian yang masih elok dan tidak muat dipakai anda boleh jual yang boleh dijadikan sebagai modal untuk membeli pakaian baharu.

3. Suai dan padan dengan pakaian sedia ada

Memandangkan fesyen dan gaya bergerak begitu pantas. Oleh itu adalah penting untuk sentiasa memerhatikan pakaian baharu yang mengikut trend dan suai padankan dengan pakaian sedia ada supaya anda dapat menjimatkan wang dan pada masa sama dapat mengikut rend terkini.

4. Belajar menjahit

Kebiasaannya, pakaian yang berdepan masalah seperti terkoyak atau tercabut butang tidak akan dipakai sehingga ia dibaiki. Keadaan ini akan meningkatkan kecenderungan seseorang untuk membeli pakaian baharu. Dengan memiliki kemahiran asas menjahit anda dapat membaiki pakaian yang rosak, tanpa perlu mengeluarkan wang sebagai upah kepada tukang jahit atau membeli pakaian baharu. Pada masa yang sama, kemahiran menjahit juga dapat membantu anda mengubah suai pakaian sedia ada untuk nampak lebih menarik dan segar.

5. Memakai aksesori

Aksesori boleh membantu mengubah penampilan nampak menarik tanpa memerlukan pakaian baharu. Anda boleh menjadi kreatif dengan menggunakan kasut, cermin mata, tali pinggang atau beg tangan yang dipadankan dengan pakaian sedia ada untuk menyerlahkan gaya anda. Anda boleh dapatkan pelbagai pilihan aksesori di pasaran dengan harga yang murah sama ada di atas talian atau kedai barangan terpakai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top