ATM mesti dibekalkan helikopter terbaik

ATM mesti dibekalkan helikopter terbaik

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dibekalkan dengan helikopter yang memenuhi standard keperluan tentera darat, laut dan udara.

Ketua Portfolio Pertahanan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kemudahan itu tidak boleh menghadapi ‘short-change‘ (kekurangan) berikutan ATM menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Mereka mesti dibekalkan helikopter yang terbaik dan tidak berisiko kepada anggota kita yang bertugas.

“Saya tiada halangan pajakan yang berpatutan dan munasabah diberi kepada Weststar Aviation Services Sdn Bhd tetapi dengan pajakan yang termahal dalam sejarah kontrak pertahanan negara yang telah pun dianugerahkan kepada syarikat itu, maka ATM negara kita layak dan mesti dibekalkan dengan helikopter yang benar-benar mengikuti keperluan user (pengguna) dan tiada kompromi dalam keselamatan negara yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas maklum balas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai pajakan 28 helikopter jenis AW139 bernilai RM16.6 billion untuk pasukan keselamatan di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Ia membabitkan pelaksanaan program pajakan ‘Government Operate, Company Own and Maintain‘ (GOCOM) membabitkan helikopter pelbagai varian buatan Syarikat Leonardo dari Itali.

Kontrak terbabit dimeterai Malaysia dengan Weststar Aviation Services Sdn Bhd pada 19 Disember 2024 bagi perjanjian pajakan selama 15 tahun dengan nilai kontrak perolehan RM16.6 bilion.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tanah Merah itu berkata, tidak pernah dibuktikan dalam sejarah dunia, helikopter AW149 ini mampu melaksanakan tindakan ‘under-slung‘ (mengangkut di bawah helikopter) meriam 105 milimeter (mm) pack howitzer.

“Penekanan Menteri Pertahanan bahawa Tentera Negara Mesir pernah mengangkut meriam secara ‘under-slung’ ini juga adalah tidak betul.

“Soalan ini sebenarnya sengaja saya timbulkan di Dewan Rakyat berikutan jawapan Kementerian Pertahanan sebelum ini berkaitan keupayaan pesawat AW149 yang bakal digunakan ATM telah dijawab secara mengelirukan orang ramai bagi mewajarkan kos RM16.6 bilion ini.

“Ia terutama membabitkan perbezaan nyata antara helikopter yang dibuat khas untuk tempur (purposely built for combat) dan diubah untuk spesifikasi tentera (equipped for military purposes),” katanya.

Katanya, kerja operasi atau tindakan ‘under-slung‘ meriam 105 mm pack howitzer oleh pesawat helikopter AW149 tidak pernah dibuktikan secara nyata melalui tindakan pandu-uji oleh juruterbang tentera dan jawapan Menteri Pertahanan hanya berasaskan maklumat katalog yang dibekalkan syarikat.

“Hakikatnya pesawat Nuri yang mampu mengangkut berat yang lebih besar secara ‘under-slung‘ termasuk meriam 105mm pack howitzer juga kadang-kadang menghadapi masalah melaksanakan tindakan berkenaan.

“Pada 12 November 1979 meriam kita yang sedang ‘under-slung‘ terpaksa dijatuhkan atas sebab keselamatan di Sungai Tamin, Kedah.

“Pegawai tinggi Tentera Diraja Udara Malaysia (TUDM) yang telah mengesahkan keupayaan pesawat helikopter AW149 melaksanakan tindakan ‘under-slung‘ meriam 105mm howitzer wajar mengatur satu sesi demonstrasi khas yang perlu disaksikan semua wartawan dari dalam dan luar negara bersama-sama ahli parlimen dan menteri .

“Ini belum lagi menyentuh mengenai keupayaan lain pesawat AW149 yang tidak mampu mengangkut lebih ramai anggota tentera berbanding pesawat helikopter EC725 sedia ada milik TUDM,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan menggariskan empat sebab utama mengapa kerajaan memutuskan untuk menggunakan pendekatan pajakan aset dalam perolehan 28 helikopter untuk kegunaan pelbagai agensi, berbanding kaedah pembelian terus.

Beliau berkata, satu daripadanya bagi menghadapi cabaran ketersediaan aset strategik negara yang rendah akibat kekangan kewangan kerajaan serta kesiagaan atau kebolehgunaan aset yang rendah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top