I VIKNESWARAN terus memimpin Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan yang berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Ahad.
Bekas pemain hoki kebangsaan itu menegaskan komitmennya untuk memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi sukan hoki.
Beliau percaya bahawa kejayaan The Speedy Tigers di pentas Sukan Olimpik bermula daripada pengukuhan asas sukan di peringkat akar umbi.
“Usaha pembangunan yang tepat dan berkesan di peringkat awal adalah kunci untuk melahirkan pemain-pemain berkualiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, termasuklah di Sukan Olimpik,” ujar Vikneswaran yang memimpin badan induk hoki Kuala Lumpur itu bagi penggal 2022-2024.
Beliau menambah, PHKL akan terus memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi melibatkan masyarakat dan menggalakkan penyertaan dalam sukan hoki dari pelbagai lapisan masyarakat.
“Dengan komitmen yang tinggi terhadap pengembangan bakat muda, saya yakin PHKL mampu mewujudkan ekosistem yang lebih berkembang dan berkualiti untuk hoki negara,” katanya.
Kemenangan Vikneswaran hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-28 selepas pencalonan bekas presiden, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, dibatalkan.
Mengulas lanjut mengenai pembatalan itu, Vikneswaran menjelaskan bahawa dokumen pencalonan yang dihantar Megat Shahriman tidak lengkap dan PHKL telah menghantar notis pembatalan pencalonan pada 23 Januari lalu.
“Keputusan itu diambil Pengerusi (Datuk Michael Wong), bukan kami, kami hanya mengikut apa yang dimaklumkan kepada kami,” katanya.
INFO
PERSATUAN HOKI KUALA LUMPUR (PHKL) PENGGAL 2024-2026
PRESIDEN
I Vikneswaran
TIMBALAN PRESIDEN
Joherman Amir
NAIB PRESIDEN (LELAKI)
Datuk Rosal Azimin Ahmad
Nasrun Mustapha
Jasbere Singh Poopindar
S Balakrishnan
NAIB PRESIDEN (WANITA)
Hebzibah Sudin