MELAKA: Seorang penyanyi sambilan dipercayai dibunuh di bilik sewanya di Taman Seri Mangga Seksyen 1, Pokok Mangga di sini hari ini.
Mayat wanita berusia 52 tahun itu ditemui polis dalam keadaan berlumuran darah di atas katil bersama suspek yang juga teman lelaki mangsa yang ketika itu berada berhampirannya dalam keadaan cedera.
Turut dijumpai dua bilah pisau kecil dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.
Menurut seorang saksi, sejurus polis tiba di tempat kejadian suspek yang cedera telah dibawa ke Hospital Melaka.
Sementara itu, teman mangsa yang menyewa di rumah berkenaan berkata, dipercayai berlaku pergelutan antara mangsa dan teman lelakinya apabila dia terdengar suara mangsa seperti menahan kesakitan tengah malam Jumaat lalu.
âSaya ada dengar suara wanita dari biliknya macam tahan sakit tetapi saya tak berani masuk campur sebab dengar mereka bergaduh.
âSaya ketuk pintu bilik sewa mangsa kira-kira pukul 11 pagi tadi dan dibuka seorang lelaki memberitahu tiada apa yang berlaku tetapi saya lihat wanita itu sudah terbaring di atas katil,â katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu, dia kemudian menghubungi rakan mangsa memaklumkan kejadian yang berlaku sebelum menghubungi polis.
Katanya, mangsa sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak lelaki menetap di Masjid Tanah.
Sementara itu kira-kira pukul 4.55 petang mayat mangsa dibawa dengan kenderaan polis ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Sehingga kini pihak polis masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung kejadian berkenaan. â UTUSAN