mdroji@bh.com.my
Kuching: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 merampas sejumlah barang termasuk hidupan liar bernilai RM29.4 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 21 Februari tahun ini.
Komandernya, Asisten Komisioner Ab Rahman Mat Hasan berkata, nilai rampasan itu adalah hasil 30 serbuan di seluruh Sarawak dan seramai 32 suspek ditahan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh berkenaan.
“Serbuan yang dilakukan itu berjaya mengenal pasti pelbagai kesalahan antaranya membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi.
“Selain itu, PPM Wilayah 5 turut mengesan penyeludupan hidupan liar, serta kesalahan di bawah Akta Perhutanan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ab Rahman, terbaharu, pihaknya menahan seorang lelaki kerana disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan minuman keras dan rokok di Miri, kelmarin.
Beliau berkata, suspek ditahan ketika membawa barangan seludup menggunakan van di Lebuhraya Pan Borneo Bintulu-Miri, sebelum simpang Marudi, kira-kira jam 8.10 pagi kelmarin.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai minuman keras dan rokok yang tidak bercukai serta tidak mempunyai pelekat setem daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai lebih RM330,000 dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
© New Straits Times Press (M) Bhd