Gus Miftah beri biasiswa kepada remaja curi pisang demi adik

Gus Miftah beri biasiswa kepada remaja curi pisang demi adik
Gus Miftah beri biasiswa kepada remaja curi pisang demi adik

Wakil Gus Miftah bertemu dengan remaja itu untuk memberikan sumbangan. – Foto Agensi

JAKARTA – Insiden seorang remaja yatim piatu mencuri empat tandan pisang di Kecamatan Tlogowungu, Kabupaten Pati, Jawa Tengah di Indonesia menarik perhatian pendakwah kontroversi, Gus Miftah.

Menerusi rakaman video yang menjadi tular pada minggu lalu menunjukkan remaja dikenali sebagai AAP berusia 17 tahun itu turut diarak dalam keadaan berbogel oleh penduduk setempat.

Siasatan mendapati AAP nekad mencuri pisang kerana lapar dan mahu memberi makan kepada adiknya.

“Saya baru melihat beritanya semalam dan saya sudah menghantar pengurus yayasan ke sana. Mudah-mudahan dia dapat bersekolah semula serta menjalani kehidupan yang lebih baik,” kata Gus Miftah.

Gus Miftah melalui perwakilan Yayasan Pesantren Ora Aji turut mengirimkan bantuan wang tunai dan biasiswa untuk AAP dan adiknya.

Gus Miftah juga berharap AAP tidak mengulang semula kesalahannya.

“Biasiswa ini akan membantu mereka sampai lulus kuliah. Remaja itu ada menyatakan hasrat mahu menuntut di Pesantren Ora Aji milik Gus Miftah. Kami akan bantu dia hingga lulus,” jelas Dwi Yudha Danu yang mewakili Gus Miftah.

Tindakan Gus Miftah telah menuai pujian warganet selepas beliau pernah dikecam banyak pihak kerana menghina penjual teh ais, Sunhaji pada Disember lalu. – Agensi

Recent Posts

Scroll to Top