BN buat persediaan awal PRK DUN Ayer Kuning

BN buat persediaan awal PRK DUN Ayer Kuning

IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak membuat persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Parlimen Tapah berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jentera parti akan segera memulakan aktiviti ke arah memenangi PRK tersebut.

Menurutnya, BN tidak akan menunggu pengumuman tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan akan memulakan gerak kerja untuk PRK tersebut.

“Perkara itu telah dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Pagi tadi saya telahpun dapat panggilan daripada Presiden UMNO dan kami berbincang untuk tidak menunggu pengumuman tarikh SPR.

“Bermakna, BN terlebih dahulu akan buat program dan aktiviti ke arah memenangi PRK di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyertai solat jenazah Ishsam di Masjid An-Nur Desa Sri Ampang di sini, hari ini.

Saarani berkata, sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa empat peringkat UMNO Bahagian Tapah termasuk ketua cawangan pada Rabu ini.

Katanya, perjumpaan itu antara lain membentuk jawatankuasa pilihan raya dan memastikan kesiap siagaan jentera parti.

“Soal calon biar Presiden tentukan kerana yang penting perlunya kita lakukan persediaan awal. Walaupun masih dalam kesedihan, kita kena hadapi juga kerana PRK ini sesuatu yang tidak dapat dielak,” katanya.

Ishsam, 59, meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang pukul 6.28 petang semalam akibat serangan jantung.

Beliau menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi DUN N48 Ayer Kuning.

Beliau yang juga Pengerusi BN Parlimen Tapah dan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain. – UTUSAN

Scroll to Top