Bapa alami tekanan darah tinggi, keadaannya stabil – Dafi Ismail Sabri

Bapa alami tekanan darah tinggi, keadaannya stabil – Dafi Ismail Sabri

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan usahawan, Dafi Ismail Sabri, 37, memohon agar didoakan kesembuhan buat bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini menerima rawatan di hospital.

Semalam, media melaporkan Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri Ke-9 itu dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya selepas tidak sedarkan diri di kediamannya pada awal pagi.

Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri dihubungi berkata, bapanya yang kini masih dalam pemantauan doktor bagaimanapun sudah semakin stabil.

“Namun, saya mohon pada semua untuk mendoakan keadaan kesihatan ayah saya segera pulih. Tekanan darahnya tinggi semalam dan ketika ini Alhamdulillah, sudah stabil.

“Cuma, ayah masih lagi di hospital. Sebab, dia ada mengadu sakit dada juga. Jadi, doktor perlu memantau keadaannya di wad dan memastikan dia betul-betul okay,” katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp.

Menurut Dafi, dia sangat berterima kepada semua yang sudah bersama-sama mendoakan kesihatan dan kesejahteraan bapanya yang juga Ahli Parlimen Bera, Pahang itu.

Terdahulu, tular di laman sosial sekeping foto Ismail Sabri sedang dirawat di sebuah hospital selepas didakwa tidak sedarkan diri.

Menerusi laporan Bernama, Setiausaha Akhbar beliau iaitu Azran Fitri Abdul Rahim mengesahkan perkara itu dan memaklumkan Ismail Sabri berada dalam keadaan stabil.

“Saya dimaklumkan Datuk Seri (Ismail Sabri) pengsan di rumahnya dan dibawa ke hospital kira-kira 2.30 pagi untuk rawatan,” katanya kepada Bernama, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, Azran Fitri juga memaklumkan Ismail Sabri tidak dibenarkan menerima pelawat buat sementara waktu dan hanya keluarga terdekat saja dibenarkan menziarah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top