Bukan semua jalan bawah tanggungjawab JKR

Bukan semua jalan bawah tanggungjawab JKR

PONTIAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah diminta mengambil tindakan segera mengenai teguran dibuat oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung masalah jalan rosak di negeri itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sekiranya jalan-jalan yang rosak merupakan Jalan Persekutuan, prosedur operasi standard (SOP) kerja-kerja bagi membaiki lubang perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

Katanya, bagaimanapun tidak semua jalan berada di bawah tanggungjawab JKR kerana terdapat 10 jalan lain seperti jalan negeri, jalan bandaran, lebuh raya dan jalan kampung.

Menurutnya , jalan-jalan lain adalah jalan pertanian, jalan pulau, jalan balak, jalan ladang dan jalan persendirian dibawah penyeliaan jabatan dan agensi berkaitan selain pemilikan individu.

“Sebagai contoh jalan-jalan kampung di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan agensi pelaksananya oleh pejabat-pejabat daerah yang bertanggungjawab sekiranya berlaku kerosakan jalan.

“Bagaimanapun JKR mengamalkan ‘No Wrong Door Policy’ dengan menerima semua aduan berkaitan kerosakan jalan, walaupun ada yang bukan di bawah penyeliaannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Kembali ke Sekolah di Dewan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) di sini, semalam.

Lima buah sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut, SMK Sri Tanjung, SMK Parit Betak, Sekolah Menengah Agama ( SMA ) Bugisiah dan SMA An-Nur.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, JKR diingatkan untuk sentiasa memperbaiki jalan-jalan rosak di Sabah dan bukannya berbuat demikian apabila berlaku kemalangan mengakibatkan kehilangan nyawa.

Hajiji berkata, jabatan itu harus bertanggungjawab membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berjadual agar mudah mengesan jalan-jalan rosak.

Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, sehingga akhir tahun lalu, aplikasi MY Aduan yang dibangunkan Kementerian Kerja Raya menerima sebanyak 26,605 aduan kerosakan jalan.

“Daripada jumlah tersebut, 7,910 aduan berkaitan JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), manakala lain-lain agensi sebanyak 18,295 aduan. JKR dan LLM berjaya menyelesaikan sebanyak 7,463 aduan manakala 447 aduan masih dalam siasatan,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top