Menceriakan anak-anak mangsa banjir

Menceriakan anak-anak mangsa banjir

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) meneruskan kerjasama kali ke-11 dengan akhbar ini menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Back To School yang kini menjengah ke daerah Kota Tinggi.

Dalam program berkenaan, Affin Islamic dan Harian Metro (HM) menghulurkan sumbangan kelengkapan sekolah buat 230 murid dari 16 sekolah kebangsaan (SK) sekitar daerah ini.

Murid terpilih adalah mereka yang terjejas dengan banjir melanda Kota Tinggi pada awal tahun ini termasuk dari golongan kurang berkemampuan, asnaf, anak yatim atau B40.

Ketua Jabatan, Strategi dan Operasi, Affin Islamic Bank Berhad, Jozaimah Johan Ali berkata, program dianjurkan inisiatif bermakna HM dan Affin Islamic yang mana ia bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi satu pelaburan dalam masa depan pelajar.

“Ini adalah kali ke-11 Kumpulan Affin menjalin kerjasama erat dengan Harian Metro. Komitmen berterusan ini mencerminkan dedikasi kami dalam menyokong inisiatif yang memberi kebaikan kepada masyarakat.

“Ia sekali gus dapat memperkukuhkan hubungan strategik di antara sektor korporat dan media dalam usaha membina masa depan yang lebih mampan,” katanya ketika berucap pada program TKHM Back To School di Dewan Seri Cendana, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan HM merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pengurusan Sekolah PPD Kota Tinggi Sahri Ammat; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM Yusri Abdul Malek dan Pengarang Berita Kanan HM merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Jozaimah berkata, penganjuran program TKHM pada tahun ini lebih bermakna memandangkan Kumpulan Affin menyambut ulang tahun ke-50, sekali gus membuktikan sudah setengah abad syarikat perbankan itu menunjukkan dedikasi dalam membangunkan bakat serta menyokong pendidikan negara.

Justeru, inisiatif seperti TKHM Back to School bersama Affin Islamic ini, katanya, menjadi sebahagian daripada usaha untuk memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

Pada masa sama, Jozaimah turut menyampaikan sumbangan Smart TV sebagai alat bantuan mengajar yang diberikan kepada tujuh sekolah terpilih.

“Hari ini, dalam era digital yang berkembang pesat, teknologi menjadi elemen penting dalam pendidikan dan sebagai sebahagian daripada usaha ini, kami dengan sukacitanya menyumbangkan Smart TV kepada sekolah terpilih.

“Ini menjadi satu alat pembelajaran interaktif yang diharap dapat menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan dinamik,” katanya.

Sementara itu, Husain berkata, Kota Tinggi dipilih sebagai lokasi seterusnya dalam penganjuran TKHM adalah kerana daerah itu yang terkesan dengan banjir, baru-baru ini.

“Kita menyumbang kelengkapan sekolah seperti pakaian, beg sekolah, kasut dan alat tulis selain sekolah terpilih menerima Smart TV 65 inci yang dilengkapi internet.

“Diharapkan, semua sumbangan ini dapat membantu memudahkan sesi persekolahan yang baharu dibuka.

“Kita dan Affin Islamic sudah bekerjasama hampir 13 tahun, bukan sahaja dalam penganjuran TKHM, tetapi banyak lagi program lain dan kita harap Affin Islamic akan terus bersama dengan kita bagi program yang akan datang supaya lebih ramai golongan asnaf dan B40 dapat dibantu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top