am@hmetro.com.my
Hulu Klang : “Saya tiada komen untuk itu. Terima kasih untuk segala komen yang positif,” kata penyanyi dan pelakon, Bella Astillah ketika mengulas hubungan rapatnya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, berkata, dia enggan mengulas lanjut mengenai hubungan baik dan rapat antara mereka ketika ini kerana bimbang tersalah cakap.
“Saya tak nak ulas lebih-lebih sebab rasanya saya dah banyak cakap ketika buat ‘live’ (bersiaran langsung) dengannya.
“Tak nak tersilap atau terlebih cakap takut orang cakap kami ini melebih-lebih,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Vitalove di Bamboo Hills di sini, petang tadi.
Ditanya mengenai netizen yang mendoakan semoga ada jodoh buat mereka, kata Bella, sebagai manusia, adalah perkara biasa untuk kita berasa gembira apabila ramai orang mendoakan kebaikan.
“Jadi harapnya (doa ramai), ia akan berterusan begitu. Sejak beberapa minggu lalu, saya lihat netizen memang suka tengok saya dengannya (Syed Saddiq).
“Alhamdulillah, sangat mudah bekerja dengan Syed Saddiq dan tiada apa-apa masalah.
“Cuma biarkan di situ, selebihnya saya fokus cari rezeki untuk anak-anak dan keluarga,” katanya.
Pada masa sama, kata Bella, buat masa ini, fokus utamanya adalah pada kerjaya, anak-anak dan keluarga.
“Saya juga mahu perbaiki apa yang perlu seperti dalam bidang nyanyian dan lakonan.
“Hal peribadi saya tolak tepi, sebab fokus utama saya adalah kepada kerjaya dan keluarga,” katanya.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq dilihat banyak meluangkan masa bersama selepas menjadi duta bagi jenama pakaian terkenal sempena musim perayaan.
Mereka berdua juga mula mencuri perhatian ramai apabila kedua-dua mereka sama-sama menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah.
Malah, rata-rata netizen suka melihat mereka apabila digandingkan sehingga berharap Bella dan Syed Saddiq cepat-cepat berkahwin.
Selain itu, Syed Saddiq juga pernah muncul dalam muzik video lagu baharu nyanyian Bella, Tapi Bukan Denganmu.
Untuk rekod, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz pada 9 September 2016 tetapi mereka bercerai pada 13 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna yang kini berusia 5 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd