am@hmetro.com.my
Butterworth: Bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di kawasan Bagan Ajam, di sini, pagi tadi hanya latihan ketenteraan yang dijalankan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sehingga mencetuskan kegusaran awam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden berkenaan pada jam 11.46 pagi tadi.
“Hasil semakan dengan pihak TUDM Butterworth mendapati mereka menjalankan latihan ‘force down’ melibatkan sebuah pesawat SU-30 MKM, F/A-18D Hornet dan C130H.
“Latihan ini membabitkan latihan ‘air to ground’ iaitu simulasi pengeboman ke kawasan musuh yang mana latihan ini dijalankan di dalam kawasan TUDM Butterworth,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam laman sosial Facebook (FB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini
© New Straits Times Press (M) Bhd