Pengarah urusan gudang dan kedai karpet Nilai 3, J Rajesh menafikan dakwaan bahawa pihaknya sengaja membakar premis itu bagi mendapatkan pampasan insurans dalam kejadian pada Jumaat.
Rajesh menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali, terutamanya memandangkan pihaknya baru sahaja menerima stok untuk jualan Aidilfitri.
Tak logik dan tak masuk akal bakar kedai waktu sekarang

Menerusi laporan daripada Sinar Harian, Rajesh menyatakan bahawa hampir setiap hari terdapat kontena yang membawa masuk karpet baharu ke premisnya bagi jualan sempena Aidilfitri.
Memang bodohlah kalau kami bakar kedai sebab nak tuntut insurans pada waktu nak dekat puasa ini.
Sekarang ini adalah waktu paling terbaik untuk peniaga karpet seperti kami dapatkan keuntungan berganda kerana orang dah mula buat persiapan raya.-Katanya
Namun, beliau menegaskan bahawa insiden yang berlaku itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit semula.
Malah, jika dilihat di semua platform jualan mereka di media sosial, pihaknya giat mengajak orang ramai untuk mengunjungi premis mereka.
Jadi sangat tidak logik kita bakar kedai hanya semata-mata nak tuntut insurans dan saya tahu macam-macam tuduhan dilemparkan kepada kami.-Tambahnya
Tanggung rugi hampir RM30 juta

Rajesh turut menafikan dakwaan bahawa kebakaran tersebut berpunca daripada perbuatan khianat dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak bomba untuk menjalankan siasatan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa sebuah kedai karpet seluas 120,000 kaki persegi di Nilai 3 telah terbakar dalam kejadian yang berlaku pada hari Jumaat sekitar jam 7.49 pagi.
Namun, insiden tersebut tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan pemilik premis menganggarkan kerugian yang dialami hampir RM30 juta, berikutan stok bagi jualan Aidilfitri turut musnah dalam kebakaran itu.
