SPFC terima perubahan jadual baharu final Piala Malaysia

SPFC terima perubahan jadual baharu final Piala Malaysia

sukan@hemtro.com.my

Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) percaya Sri Pahang FC akan memberi tentangan sengit apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 12 April depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata biarpun tarikh perlawanan diawalkan berbanding jadual asal pada 26 April depan, ia tidak mengganggu persediaan skuad Tok Gajah.

“Saya percaya barisan kejurulatihan yang diketuai Fandi Ahmad selaku ketua jurulatih akan melakukan segala-galanya untuk memastikan Sri Pahang pada prestasi terbaik apabila berdepan Harimau Selatan nanti.

“Tiada yang mustahil walaupun kemungkinan beberapa pemain utama tidak dapat beraksi tetapi perlawanan perlu diteruskan serta memberi tentangan dan tekanan kepada lawan.

“Oleh itu, perubahan jadual baharu yang diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) diterima berdasarkan atas faktor tertentu yang menyaksikan tarikh final terpaksa diubah apabila JDT layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammed Suffian mengharapkan sokongan padu daripada peminat skuad Tok Gajah yang kali terakhir meraikan kejayaan muncul juara pada 2014.

Katanya, kehadiran penyokong diyakini membantu memberi suntikan semangat kepada skuad kendalian Fandi Ahmad dalam menjulang kejuaraan.

“Sri Pahang akan berdepan JDT yang diakui pasukan terbaik dan pastinya kehadiran [pemain ke-12′ akan memberi sorakan dan menambah kemeriahan di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

“Lebih memeriahkan suasana, aksi final itu berlangsung dalam mood Aidilfitri,” katanya.

Kali terakhir skuad Tok Gajah melangkah ke final piala berprestij itu pada 2014 dan bergelar juara pada musim itu selepas menewaskan JDT.

Namun, situasi kali ini jelas berbeza ketika skuad Tok Gajah tidak dapat menyenaraikan kesebelasan terbaik selepas kehilangan Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo yang menjadi senjata utama di bahagian serangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top