Arab Saudi larang penstriman langsung solat Tarawih

Arab Saudi larang penstriman langsung solat Tarawih

Riyadh: Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi mengeluarkan arahan baharu iaitu larangan penggunaan kamera di masjid untuk merakam imam dan jemaah ketika solat.

Portal Middle East Monitor (MEM) yang memetik Saudi Press Agency melaporkan, larangan itu termasuk ketika solat Tarawih pada Ramadan, dan melarang penyiaran atau penstriman langsung solat di mana-mana platform media.

Kementerian menyatakan langkah itu bertujuan memelihara kesucian masjid dan mengekalkan suasana yang sesuai untuk beribadat selain memastikan jemaah tidak terganggu.

Ia juga menekankan kepentingan imam dan pendakwah mematuhi garis panduan kementerian dan membimbing jemaah untuk mematuhi etika yang betul di dalam masjid.

Selain itu, kementerian turut memaklumkan larangan mengutip derma untuk menganjurkan juadah berbuka puasa di masjid.

Katanya, majlis berbuka juga mesti diadakan di kawasan yang ditetapkan di bawah pengawasan pihak berkuasa yang berkaitan, sambil memastikan pematuhan dengan langkah kesihatan dan keselamatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top