am@hmetro.com.my
Klang: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan menyenaraihitamkan semua peniaga di Kompleks Pasar Besar Meru yang dikesan menyewakan ruang niaga milik mereka kepada pendatang asing tanpa izin (Pati).
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, dari segi polisi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, aktiviti perniagaan di premis PBT atau premis kerajaan disyaratkan untuk dikendalikan warga tempatan yang mempunyai lesen sah.
“Kalau kita dapati premis perniagaan terbabit disewakan atau ‘dialibabakan’ kepada warga asing tanpa kelulusan majlis, dari segi polisi kita boleh mengambil tindakan untuk membatalkan lesen dan menamatkan penyewaan pemilik atau peniaga berkenaan.
“Kalau biasa, kadar bayaran sewa kepada Majlis adalah RM100, kemungkinan mereka boleh dapat bayaran sewa RM500 daripada warga asing.
“Kalau ikut sistem kita, mereka yang dibatalkan lesen dan sewaan, kita akan sekat daripada semua aktiviti perniagaan di tempat lain atau disenaraihitamkan,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan di Kompleks Pasar Besar Meru, di sini, pagi tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jafri Embok Taha dan Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Amimus Kamarudin.
Bagaimanapun katanya, MBDK akan memutuskan perkara itu sebaik sahaja mendapat maklumat terperinci daripada hasil operasi bersepadu berkenaan.
“Sekiranya pihak imigresen mengesahkan mereka (pengusaha premis) adalah warga asing, kita akan membuat semakan ke atas premis berkenaan untuk mengambil tindakan, seterusnya urusan pembatalan penyewaan dan pembatalan lesen dilakukan.
“Di pasar ini, terdapat 721 petak atau ruang niaga yang boleh disewakan. Pada masa ini, 600 unit yang disewakan dan diberi lesen.
“Premis-premis yang ditinggalkan kosong (dalam operasi) tadi, kita akan minta pihak imigresen buat semakan…,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd