20 maut, penyakit bawaan air di Sudan

20 maut, penyakit bawaan air di Sudan

Khartoum: Wabak penyakit bawaan air yang “di luar kawalan” di selatan Sudan meragut nyawa sekurang-kurangnya 20 pesakit dan menyebabkan lebih 800 yang lain berada di hospital sejak tiga hari lalu, kata Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Jumaat.

Wabak itu berpunca daripada serangan dron yang dilaporkan ke atas stesen jana kuasa Um Dabakar – terletak 275 kilometer di selatanKhartoum – mengganggu akses kepada air bersih di bandar Kosti.

Ia menyebabkan sistem penjagaan kesihatan Sudan lumpuh akibat perang saudara di negara itu yang mengorbankan puluhan ribu dan menyebabkan lebih 12 juta individu kehilangan tempat tinggal.

“Punca jangkitan yang paling mungkin adalah sungai kerana banyak keluarga mengumpul air menggunakan kereta keldai selepas bekalan elektrik terputus di kawasan itu,” kata badan amal perubatan itu dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa sudah mengharamkan amalan mengambil air dari sungai dan menggesa pengklorinan lebih kuat pada sistem pengagihan air.

Kebanyakan restoran tempatan dan pasar di Kosti ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Wabak itu menyebabkan pusat rawatan taun di Hospital Pengajaran Kosti sesak, kata MSF yang berpangkalan di Perancis. Pesakit dilaporkan mengalami cirit-birit akut, dehidrasi, muntah, dan mata cekung.

“Keadaan ini benar-benar membimbangkan dan hampir tidak terkawal.

“Kami kehabisan ruang hingga kini menerima pesakit di kawasan lapang dan merawat mereka di atas lantai kerana katil tidak mencukupi,” kata penyelaras perubatan MSF di Kosti, Dr Francis Layoo Ocan

MSF – yang menyokong penjagaan kolera di rantau ini sejak Oktober – melaporkan peningkatan mendadak jangkitan apabila 100 pesakit baharu tiba di pusat rawatan taun itu, sejak malam Rabu.

Menjelang petang Jumaat, angka itu meningkat kepada lebih 800.

Sekurang-kurangnya 24 orang meninggal dunia termasuk seorang pesakit yang maut ketika tiba di pusat rawatan, manakala 48 lagi sudah dibenarkan pulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top