Enjin 'bising' V10 bakal kembali ke F1?

Enjin 'bising' V10 bakal kembali ke F1?

London: Formula Satu (F1) mungkin bakal menyaksikan suasana lebih bising selepas badan induk sukan itu membayangkan kemungkinan kembalinya semula penggunaan enjin V10 dengan kali ini menggunakan bahan api mampan sepenuhnya.

Kereta Grand Prix (GP) ketika ini menggunakan enjin 1.6 liter V6 turbo hibrid sejak 2014, dengan peraturan baharu akan diperkenalkan mulai tahun depan hingga 2030.

Walaupun enjin semasa dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan, ia sangat mahal dan jauh lebih senyap berbanding enjin V10 yang pernah memukau peminat sebelum penampilan terakhirnya di grid permulaan pada 2006.

Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem membangkitkan kemungkinan itu dalam satu hantaran di Instagram selepas pelancaran rasmi 10 pasukan F1 di London minggu lalu, yang menampilkan suasana meriah serta bunyi enjin yang menggegarkan.

Lebih 15,000 penonton hadir ke acara itu, namun terdapat sorakan tidak puas hati ketika nama FIA disebut dalam majlis berkenaan.

“Pelancaran F1 minggu ini di London mencetuskan banyak perbincangan positif mengenai masa depan sukan ini.

“Walaupun kami menantikan pengenalan peraturan baharu 2026 mengenai casis dan unit kuasa, kami juga perlu menerajui teknologi baharu dalam sukan permotoran.

“Kami harus mempertimbangkan pelbagai hala tuju, termasuk membawa kembali bunyi enjin V10 bahan api mampan. Apa pun keputusan yang diambil, kita mesti menyokong pasukan dan pengeluar dalam memastikan kos dapat dikawal terutamanya untuk penyelidikan dan pembangunan,” kata Ben Sulayem dalam hantaran.

Jurucakap FIA mengesahkan bahawa perbincangan sedang berlangsung dengan pihak berkepentingan mengenai hala tuju teknikal sukan ini selepas 2030, dan satu kumpulan kerja mungkin akan ditubuhkan untuk meneliti segala kemungkinan.

“Enjin V10 yang menggunakan bahan api mampan akan menjadi sebahagian daripada pertimbangan ini, yang juga akan dikaitkan dengan langkah-langkah alam sekitar dan kawalan kos.

“Walaupun kami kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengenalan peraturan 2026 serta prospek perlumbaan yang lebih kompetitif, kami juga perlu membuat perancangan untuk masa depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top