Wanita tikam suami akan didakwa Isnin depan

Wanita tikam suami akan didakwa Isnin depan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Wanita yang dipercayai menikam suaminya dalam kejadian tragis di hadapan rumah mereka di sebuah pangsapuri, di sini, pada 16 Februari lalu disambung reman bagi membantu siasatan lanjut.

Ia selepas tempoh reman terhadap suspek tamat hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, reman terhadap suspek warga tempatan berusia 59 tahun itu disambung selama empat hari untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, suspek akan dituduh di Mahkamah Kajang pada Isnin depan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki maut selepas ditikam berulang kali oleh isterinya dalam satu kejadian tragis di hadapan rumah mereka di sebuah pangsapuri, di sini.

Mangsa, seorang kontraktor berusia 60 tahun, diserang isterinya selepas berlaku perselisihan faham.

Kejadian itu turut disaksikan orang awam yang kemudian melaporkannya kepada polis pada 11.05 pagi.

Naazron dipetik berkata, suspek yang juga suri rumah ditahan di lokasi kejadian, manakala senjata yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top