am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Balu kepada Allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Norhidayah Mohd Ali, 33, dan kekasihnya, Amsyar Salim memang ada perancangan untuk bernikah tetapi bukan dalam tempoh terdekat ini.
Siti Norhidayah atau Hidayah ketika dihubungi berkata, mereka juga masih dalam fasa perkenalan dan mengenali hati budi lagi.
“Saya dan si dia dalam fasa perkenalan lagi ketika ini. Insya-Allah, mungkin tahun depan atau pada 2027 kami akan berkahwin,” katanya kepada Harian Metro.
Hidayah berkata, buat masa ini, dia mahu memberi fokus kepada perniagaan produk kecantikan dulu.
“Saya harap semua mendoakan yang terbaik buat saya dan anak, Hamzah. Semoga anda semua terus menyokong produk kecantikan saya,” katanya.
Terdahulu, Hidayah pernah memberi bayangan hatinya sudah dimiliki seorang jejaka selepas beberapa tahun bergelar balu.
Namun, video yang dimuat naik secara terbuka oleh pengguna akaun TikTok iaitu Amsyar yang berkongsi beberapa momen mereka keluar bersama dan meletakkan emoji tanda bahagia di platform TikTok seolah-olah merungkai segalanya.
Sementara itu, perkongsian Amsyar bersama Hidayah di TikTok turut mencuri perhatian netizen yang rata-rata menitipkan pesanan supaya dia akan menjaga dan menyayangi Hidayah serta anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, 4, dengan penuh keikhlasan.
Hidayah mendirikan rumah tangga dengan Abam pada 8 Disember 2017. Hasil perkahwinan itu, mereka memiliki seorang anak lelaki.
Bagaimanapun, Abam meninggal dunia pada 10 Februari 2020 ketika berusia 32 tahun di kediamanya di Gombak, Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd