Pesta Angin Timur dalam ‘keleboq’ tetap unik, meriah

Pesta Angin Timur dalam ‘keleboq’ tetap unik, meriah

ARAU: Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2025 bermula semalam sehingga Ahad tetap diteruskan, namun dengan sedikit perubahan aktiviti dan lokasi yang langsung tidak menjejaskan kemeriahan pesta ikonik negeri itu.

Perubahan lokasi sesetengah aktiviti tersebut terpaksa dilakukan berikutan kawasan bendang di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang yang berlangsungnya Pesta Angin Timur itu masih berselut tebal berikutan hujan lebat semalam.

Sebanyak 25 aktiviti diteruskan antaranya seperti bola jaring bendang, kenduri rakyat, mud challenge, arca jerami, pertandingan tangkap itik, belon udara panas, kayuh basikal atas titi, pameran lori berhias, pertunjukan wau helang Perlis, paramotor dan pelbagai lagi acara lain yang pastinya bakal menarik perhatian para pengunjung.

Selain lokasi asal, beberapa kawasan membabitkan sesetengah aktiviti adalah seperti di Jan Cafe Sungai Batu Pahat, Yayasan Pok Dan Kassim, Pengkalan Asam, Dataran Lok 9, Kuala Perlis dan bersebelahan kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, upacara perasmian yang dijadual disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini tidak diteruskan namun orang ramai diminta hadir bagi bersama-sama dalam kenduri rakyat.

Manakala aktiviti jualan membabitkan 170 lot niaga di kawasan tersebut juga terpaksa dibatalkan.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, meskipun berlaku sedikit bencana berikutan hujan lebat petang semalam namun Pesta Angin Timur 2025 tetap akan diteruskan dengan penuh kemeriahan.

Katanya, bagaimanapun, bagi sesetengah aktiviti, ada yang akan diteruskan di lokasi asal dan selebihnya diadakan di kawasan-kawasan lain.

“Kenduri rakyat juga kita teruskan di mana rakyat boleh hadir di tapak Lat Seribu ini bagi menikmati hidangan kurma daging yang disediakan secara gotong-royong,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.

Mohd. Shukri seterusnya meminta semua pihak agar berlapang dada dengan ketentuan Allah SWT yang menurunkan hujan.

“Kita memang rasa dukacita tapi kita kena berlapang dada dengan ketentuan Allah SWT yang menurunkan hujan. Insya-Allah tahun depan kita cuba lakukan yang terbaik.

“Saya rasa persediaan kali ini sudah cukup baik dan kita berpuas hati, tapi ketentuan Allah SWT mengatasi segala-segalanya.

“Kepada semua pihak terlibat dan yang terjejas, kita mohon maaf dan apabila berlaku keadaan seperti ini (hujan), kita kena sama-sama berlapang dadalah,” katanya.

Sebagai rekod, Pesta Angin Timur dianjurkan sejak 2011 dengan edisi pertama berlangsung di Kampung Banir, Tembus Simpang Empat dan setiap tahun program tahunan itu terus menarik perhatian orang ramai dengan ratusan ribu pengunjung dicatatkan.-UTUSAN

Scroll to Top