Cabul di masjid: Polis siasat dakwaan suspek miliki kad OKU

Cabul di masjid: Polis siasat dakwaan suspek miliki kad OKU

Shah Alam: Polis sedang menyiasat dakwaan yang mengatakan lelaki ditahan berhubung kes cubaan mencabul seorang kanak-kanak perempuan di masjid di Batang Kali, dekat sini, pagi tadi, memiliki kad orang kurang upaya (OKU).

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek baru sahaja ditahan dan pihaknya masih menyiasat kesahihan dakwaan terbabit.

“Kita belum dapat maklumat dan masih menyiasat dakwaan orang ramai yang mengatakan suspek memiliki kad OKU,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dilaporkan berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 19 tahun bagi membantu siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian pada 8.19 pagi.

Dalam pada itu, Hussein ketika mengulas kes yang turut tular di media sosial itu berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat bersendirian di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.

Beliau berkata ibu mangsa yang juga pengadu dalam kes itu memaklumkan membawa dua anaknya ke masjid untuk menunaikan solat subuh, tetapi hanya mangsa yang bersembahyang di bahagian belakang.

“Susulan laporan yang dibuat wanita itu, polis bertindak menahan suspek pada tengah hari tadi di Batang Kali dengan bantuan orang ramai,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Awal pagi tadi, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak dari arah belakang ketika sedang bersujud dan melarikan mangsa tanpa disedari jemaah lain.

Lelaki itu juga dilihat bergelut untuk cuba mencabul mangsa sebelum melarikan diri selepas mangsa melawan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top