Buaya di Sungai Klang masih gagal ditangkap

Buaya di Sungai Klang masih gagal ditangkap

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Buaya tembaga dianggarkan seberat hampir 500 kilogram (kg) dikesan gemar berkeliaran sepanjang Sungai Klang di sini sejak awal Januari lalu.

Kali terakhir Buaya Tembaga sama dikesan timbul berhampiran Masjid Jamek di sini, pada 25 Januari lalu, sebelum muncul sekali lagi berhampiran pusat beli-belah The Gardens Midvalley dan KL Eco City semalam.

Bagaimanapun sehingga petang ini, buaya berkenaan masih gagal ditangkap walaupun perangkap sudah dipasang.

Penemuan reptilia itu menarik perhatian orang ramai dan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Abdullah Hukum yang tinggal berhampiran sungai itu.

Difahamkan sepasukan lebih 15 anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) diketuai Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur Mej. (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soerharto didapati membuka pos operasi di atas jambatan di sungai berkenaan bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menangkap reptilia itu.

Mereka dilaporkan masih memantau kehadiran buaya selain membantu menurunkan sangkar perangkap petang semalam.

Anggota APM turut akan melakukan pencarian di permukaan bagi mengesan kehadiran buaya berkenaan selepas berbincang dengan pihak polis dan Perhilitan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Wilayah Persekutuan, Ishak Muhammad berkata, perangkap dipasng untuk menangkap buaya dianggarkan sepanjang tiga meter itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menjauhi kawasan terbabit sehingga buaya itu ditangkap.

“Usaha sedang dijalankan untuk memantau kawasan sekitar bagi mencari buaya dewasa itu.

“Berdasarkan pemerhatian kami terhadap video haiwan itu, kami percaya bahawa ia adalah buaya yang sama yang ditemui berhampiran Masjid Jamek baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata dengan bantuan daripada APM, pihaknya menggunakan bot untuk memantau sungai berhampiran kawasan yang terakhir kali buaya itu dilihat.

“Selain itu, pihaknya bersama pakar dari Pusat Penyelamatan Hidupan Liar Negara (NWRC) dan APM memasang perangkap untuk menangkap reptilia terbabit yang dipercayai tersesat dari habitat asalnya,” katanya.

Terdahulu, sebuah video berhubung penemuan buaya itu tular di media sosial kelmarin, menarik perhatian orang ramai ke lokasi kejadian.

caption

Pix 1; KELIBAT buaya besar yang timbul di Sungai Klang di sini, kelmarin

PIx 2: ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) meneruskan tinjauan dilakukan di Sungai Kelang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top