KARNIVAL Rumah Impian Bank Rakyat menawarkan kadar keuntungan Pembiayaan Perumahan-i serendah 3.85 peratus setahun sehingga 10 Mei 2025.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, tawaran tersebut memberi peluang kepada pembeli rumah kali pertama untuk mendapatkan pembiayaan dengan kadar lebih berpatutan.
Menurutnya, institusi perbankan itu turut menawarkan margin pembiayaan sehingga 110 peratus bagi pakej Rumah Pertamaku selain sifar pembiayaan kos kemasukan.
Tambah beliau, manfaat itu sekali gus dapat memberi pelanggan lebih masa untuk merancang dan mengambil langkah pertama memiliki rumah sendiri.
“Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan pemilikan rumah sendiri dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya golongan pembeli rumah kali pertama yang mencari platform terbaik untuk memiliki rumah idaman mereka.

Orang ramai berpeluang menikmati kadar keuntungan Pembiayaan Perumahan-i serendah 3.85 bersempena Karnival Rumah Impian Bank Rakyat.
“Karnival ini adalah kesinambungan daripada kejayaan karnival yang telah diadakan pada tahun 2023 dan 2024 yang berjaya membantu ramai masyarakat dalam mencapai impian mereka untuk memiliki rumah.
“Program ini bakal dianjurkan di enam lokasi bermula dari Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Februari 2025 dan disusuli lima lokasi lain termasuk Melaka,Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak. Acara ini akan bermula dari jam 9 pagi hingga 5.00 petang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, menurut Ahmad Shahril, karnival tersebut turut menyaksikan kerjasama strategik dengan Samsung yang menawarkan Easy Payment Plan (EPP) selain kadar sifar peratus untuk tempoh dua tahun bagi produk terpilih.
Terdapat lebih 10 pemaju perumahan terkemuka seperti Scientex Berhad, SP Setia, UDA Property, MK Land, Gamuda Land, Matrix Concept Holdings, 168 Park Selayang dan Lagenda Properties yang turut mengadakan pameran bersama Bank Rakyat.
“Ini memberi nilai tambah kepada pengunjung yang ingin membeli peralatan elektronik sambil merancang untuk memiliki rumah impian mereka.
“Karnival ini turut disertai oleh agensi hartanah seperti IQI Realty, Ellzar Consultant dan Quality Homes Realty serta syarikat panel solar Suria Infiniti. Turut disediakan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Hospital Pakar Al-Islam dan KPJ Sentosa,” ujarnya.