Polis sedang siasat dakwaan suspek lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul seorang kanak-kanak di Masjid Jamek Sungai Masin Batang Kali, hari ini, memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata suspek baru saja ditahan dan pihaknya sedang menyiasat kesahihan dakwaan itu.
“Kita belum dapat maklumat dan masih menyiasat dakwaan orang ramai yang menyatakan suspek memiliki kad OKU,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunaikan solat sendirian di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.
Beliau berkata, ibu mangsa yang juga pengadu memaklumkan telah membawa dua anaknya ke masjid untuk menunaikan solat subuh, namun hanya mangsa bersembahyang di bahagian belakang.
“Susulan laporan yang dibuat wanita itu, polis menahan suspek pada tengah hari tadi di Batang Kali dengan bantuan orang ramai,” katanya.
Artikel lain: Suami disyaki cabul anak asuhan, pengasuh dakwa difitnah Hafiz Mahamad
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata pihaknya sudah menahan suspek bagi membantu siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.19 pagi tadi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu untuk mendapatkan perintah tahanan reman, esok.
Pagi tadi, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak perempuan dari arah belakang ketika mangsa sedang bersujud.
Lelaki itu kemudian melarikan mangsa tanpa disedari jemaah lain, sebelum dilihat bergelut untuk mencabul mangsa tetapi melarikan diri selepas kanak-kanak terbabit melawan.
Sumber: BERNAMA