Dr Mazlinda meninggal dunia ketika temankan anak jalani prosedur perubatan

Dr Mazlinda meninggal dunia ketika temankan anak jalani prosedur perubatan

latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Jabatan Otorinolaringologi (ENT) Hospital Putrajaya Dr Mazlinda Mahadzir, meninggal dunia ketika menemani anaknya yang menjalani prosedur perubatan di Hospital Kajang malam tadi.

Khabar kematian beliau dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menerusi perkongsian di Facebook sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Dr Mazlinda.

Menerusi perkongsian itu, Dr Dzulkefly memaklumkan, Allahyarhamah rebah ketika menemani anaknya yang sedang menjalani prosedur kesihatan di hospital terbabit.

“Sedih dan pilu mendapat perkhabaran dukacita dari Pengarah Hospital Kajang, yang memaklumkan Ketua Jabatan ENT Hospital Putrajaya, Dr Mazlinda Mahadzir, collapsed (rebah) di Hospital Kajang (sewaktu menemani anaknya menjalani prosedur di sana) sebentar tadi (semalam).

“Pasukan Hospital Kajang sudah cuba sedaya upaya melakukan CPR (bantuan asas hayat), namun Al-Marhumah tidak dapat diselamatkan dan kembali ke rahmatullah. Innalillahi..,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau turut menitipkan penghargaan atas sumbangan dan pengorbanan Allahyarhamah Dr Mazlinda sepanjang menyumbang bakti di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan.

“Sama-sama kita doakan insan mulia yang disayangi rakan-rakan dan warga besar KKM serta telah banyak berkorban dan mencurah khidmat bakti ini dirahmati dan diampuni Allah Azza Wajalla serta ditempatkan bersama-sama golongan yang terpilih… Al-Fatihah.

“Salam takziah buat keluarga Al-Marhumah, yang kehilangan insan amat disayangi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top