'Pilot darat' sanggup tunggu berjam-jam di bahu jalan elak ditahan

'Pilot darat' sanggup tunggu berjam-jam di bahu jalan elak ditahan

harisfadli@hmetro.com.my

Gombak: Deretan ‘pilot’ darat dilihat berhenti di bahu jalan sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) selepas Plaza Tol Gombak, di sini bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Wartawan Harian Metro yang dalam perjalanan menuju ke dari Stesen Penguatkuasa (SPK) Gombak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, di sini mendapati pelbagai jenis kenderaan berat berhenti terutama treler, dan lori pasir.

Difahamkan, pemandu terbabit sanggup menunggu berjam-jam di bahu jalan bagi mengelak pemeriksaan JPJ yang melaksanakan Operasi Khas Gempur Teknikal Siri 1/2025 di sini, hari ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, perkara itu sudah menjadi kelaziman setiap kali operasi penguatkuasaan dilaksanakan di kawasan itu bagi mengelak disaman.

“Ini adalah amalan biasa di kalangan mereka, pihak kami akan mengambil langkah untuk mengarahkan mereka bergerak bagi mengelakkan gangguan lalu lintas.

“Pasukan rondaan akan dikerahkan untuk memastikan mereka tidak menghalang perjalanan dan mematuhi arahan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 6,411 saman dikeluarkan ke atas pelbagai kenderaan perdagangan menerusi operasi yang bermula 15 Januari hingga 4 petang hari ini.

Katanya, sebanyak 21 kenderaan barangan dan pengangkutan awam antaranya bas ekspres dan bas persiaran disita sepanjang tempoh itu.

“Dalam tempoh tujuh hari operasi ini, sebanyak 3,917 kenderaan diperiksa, terdiri daripada 2,125 kenderaan barangan dan 1,792 kenderaan perkhidmatan awam, dengan 347 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Pada hari ini sahaja bermula 7 pagi hingga 4 petang sebanyak 315 kenderaan berat sudah diperiksa dan 41 kenderaan sudah dikenakan pelbagai tindakan termasuk lima disita kerana dipandu pemandu warga asing.

“Setakat ini, 116 saman sudah dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan tiada lesen memandu, tiada lesen vokasional, tiada LKM (cukai jalan), tiada insurans dan cermin gelap,” katanya.

Mengulas berkenaan pemandu warga asing terbabit, Hamidi berkata, warga asing sememangnya tidak dibenarkan mengambil apa sahaja lesen vokasional.

“Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan mereka diambil bekerja kerana gaji yang lebih rendah berbanding pekerja tempatan.

“Dari segi dokumentasi, walaupun permit mereka sah, mereka tetap melakukan kesalahan seperti tiada lesen memandu dan tiada lesen CDL (Lesen Memandu Kompeten),” katanya.

Mengulas lanjut Hamidi berkata, operasi itu akan dijalankan sehingga 28 Februari dengan memberikan penekanan kepada lima aspek utama.

Penekanan diberikan kepada kesalahan lebih muatan, kesalahan teknikal, kegagalan pematuhan dokumentasi, kesalahan lalu lintas, kesalahan spesifikasi pembinaan dan penggunaan kenderaan.

Menurutnya, operasi itu turut dibantu dibantu oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top