Kuala Lumpur: Sebanyak 2,448,105 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah membuat bayaran balik setakat 31 Disember 2024.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,044,595 peminjam telah menyelesaikan pinjaman mereka secara keseluruhannya.
“Sebanyak 585,638 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten dan 817,872 peminjam membayar balik secara tidak konsisten membabitkan tunggakan RM5.80 bilion,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.
Secara keseluruhan, KPT memaklumkan untuk tempoh sama hingga 31 Disember tahun lalu, terdapat 383,637 peminjam yang masih gagal memulakan bayaran balik pinjaman dengan jumlah tunggakan bayaran balik sebanyak RM5.25 bilion.
KPT menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai jumlah peminjam PTPTN yang sedang membayar mengikut jadual pembayaran, membayar tidak mengikut jadual pembayaran dan gagal membayar serta jumlah nilai hutang bagi setiap kumpulan tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd