NS idam tempat ketiga ubati duka

NS idam tempat ketiga ubati duka

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Selepas impian layak ke pentas final TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) 2025, tidak kesampaian apabila kecundang kepada Malaysian University (MU), 3-0, di peringkat separuh akhir, kelmarin, kini skuad hoki wanita Negeri Sembilan mengharapkan tempat ketiga sebagai pengubat duka.

Sehubungan itu, pemain pasukan itu diharap dapat memperagakan aksi mantap dan lebih bertenaga pada aksi penentuan tempat ketiga berdepan QNET Pheonix, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, petang esok.

Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Tamil Selvan mahu skuad bimbingan Shaiful Azli Abd Rahman itu berjuang habis-habisan bagi menewaskan QNET Pheonix untuk mendapatkan kemenangan.

Katanya, prestasi terbaik yang dipamerkan pemain sepanjang liga dengan mencatatkan empat kemenangan dan satu seri, perlu dikekalkan pada aksi terakhir itu musim ini.

“Pada perlawanan peringkat awal kita mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan QNET, jadi harus sedar pasukan lawan itu ada kekuatan tersendiri dan pemain Negeri Sembilan perlu berwaspada dengan kepantasan barisan muda pasukan itu.

“Saya berharap pemain dapat terus berusaha mengekalkan prestasi terbaik dengan memastikan kemenangan dicipta ke atas QNET, esok.

“Walaupun sasaran mara ke pentas final tidak kesampaian, peluang untuk menamatkan kempen musim ini di tempat ketiga tidak harus dipersia-siakan,” katanya hari ini.

Justeru, Tamil berharap pemain yang dipilih menggalas tugas berkenaan dapat mempertahankan maruah pasukan dengan memenangi perlawanan, esok.

“Musim lalu, kita menamatkan kempen di tempat keempat, jadi kita perlu perbaiki kedudukan itu dengan memenangi perlawanan esok.

“Saya berharap pemain Negeri Sembilan dapat melakukan aksi terbaik dengan berusaha menterjemahkan segala perancangan jurulatih, bagi merealisasikan kemenangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top