Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) mengesan enam peranti perubatan yang dijual di platform e-dagang, gagal memenuhi spesifikasi serta standard keselamatan dan prestasi yang ditetapkan.
Ketua Eksekutif MDA Dr Muralitharan Paramasua berkata, hasil ujian dilakukan dengan kerjasama SIRIM QAS International Sdn Bhd itu mendapati, ada juga peranti perubatan yang memberikan keputusan tidak tepat dan mengelirukan sekali gus menimbulkan risiko kesihatan yang serius kepada individu dan masyarakat.
“Keputusan ujian peranti perubatan yang tidak memenuhi standard ini boleh membawa kepada implikasi kesihatan yang kritikal termasuk rawatan salah, kelewatan dalam intervensi perubatan yang diperlukan, serta meningkatkan risiko komplikasi kesihatan dan membawa kepada kehilangan nyawa.
“Oleh itu, MDA dengan tegas menasihati orang ramai supaya berhati-hati apabila membuat pembelian secara dalam talian bagi peranti perubatan yang telah disenaraikan itu sehingga siasatan penuh dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, enam peranti terbabit ialah Pemekat Oksigen, Alat Pemantau Tekanan Darah Elektronik, Pengukur Kandungan Glukosa dalam Darah, Termometer, Sarung Tangan Pembedahan dan Sarung Tangan Pemeriksaan pelbagai jenama yang dijual di Lazada, Shopee, TikTok Shop serta PGMall.
Ia melibatkan jenama terkenal, iaitu Pemekat Oksigen keluaran Dynmed, Angle Biss dan Carer, Alat Pemantau Tekanan Darah Elektronik (BP Life, Novoplus, Yuwell dan Ouson+), Pengukur Kandungan Glukosa dalam Darah (Roche, Sinocare dan Yasee), Termometer (BioCare, Ouson+ dan Scaneo), Sarung Tangan Pembedahan (Gammex dan Shirudo) serta Sarung Tangan Pemeriksaan (Puritex dan Infinity).
Justeru, Dr Muralitharan mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memastikan peranti perubatan dibeli berdaftar dengan MDA dan dijual oleh establismen berlesen bagi menjamin keselamatan keberkesanan penggunaan peranti berkenaan dalam penjagaan kesihatan.
“Sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam pengawalseliaan peranti perubatan di Malaysia, MDA akan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap penjualan peranti yang tidak mematuhi standard yang telah ditetapkan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang aduan berkaitan, sila layari laman sesawang rasmi MDA menerusi mda.gov.my. atau hubungi talian 03-8230 0300.
© New Straits Times Press (M) Bhd