Kuala Lumpur: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan telah menjalankan saringan ke atas 368 daripada 460 orang penduduk sehingga 19 Februari 2025 sebagai langkah dalam mempergiatkan pengesanan kes kusta di Kampung Chergun dan Kampung Guntur, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Ini adalah sebahagian daripada usaha mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan sejak bulan Julai 2024. Sehingga kini, sebanyak 9 kes disahkan kusta dan kesemua pesakit telah diberi rawatan mengikut regim garis panduan yang telah ditetapkan.
Salah seorang daripada pesakit yang berusia 18 tahun dari Kampung Chergun telah meninggal pada 17 Februari lalu. Sebelum itu, pesakit telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) setelah mengalami gejala demam, sakit perut, muntah dan diberi rawatan sewajarnya oleh Pakar Perubatan Dalaman HTAN serta khidmat konsultasi dari pihak Gastroenterologi, Hepatologi dan Dermatologi.
Ahli keluarga pesakit membawa pesakit pulang ke rumah pada 16 Februari 2025, dan telah meninggal dunia keesokan harinya.
Aktiviti pengesanan kes dan kontak serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan masih diteruskan. Mana-mana individu yang mempunyai gejala seperti penyakit kusta perlu mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa situasi kusta di Kuala Pilah adalah terkawal dan pesakit kusta juga tidak perlu lagi diasingkan kerana terdapat rawatan yang berkesan.
Justeru, KKM ingin menyeru masyarakat agar memberi kerjasama kepada pasukan kesihatan semasa aktiviti pengesanan kes dijalankan. KKM juga akan terus komited dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd