Perak sasar 1,000 premis, hotel penginapan daftar Lesen Hotel

Perak sasar 1,000 premis, hotel penginapan daftar Lesen Hotel

IPOH: Kerajaan negeri menyasarkan 1,000 premis penginapan mendaftar melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan Lesen Hotel menjelang akhir tempoh pemutihan pada 30 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, tempoh pemutihan itu memberi ruang secukupnya kepada semua pengusaha premis untuk melengkapkan proses perlesenan sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan.

Katanya, setakat ini, sebanyak 700 premis dari lima kategori hotel telah mendaftar bagi mendapatkan lesen di bawah Enakmen Hotel Perak 2023 itu.

“Data ini menunjukkan peningkatan positif dalam pendaftaran premis terutama bagi Kategori 5 merangkumi rumah tumpangan, inap desa dan tapak perkhemahan.

“Sebahagian premis yang telah berdaftar ini masih berstatus lesen sementara dan kita akan lihat sekiranya syarat yang disenaraikan berjaya dipenuhi, maka lesen penuh akan diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Sandrea Ng mengadakan lawatan kerja ke Hotel Weil, Hotel Excelsior dan Tingkat Valley yang telah melaksanakan Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) kepada pengunjung yang menginap di premis masing-masing.

Turut serta dalam lawatan ialah Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Bendahari Negeri, Megat Amirul Zaini Jamalullail Megat Jamaluddin dan Timbalan Pengarah Kanan (Kerajaan Tempatan) Unit Perancang Ekonomi Negeri, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria.

Menurut beliau, dalam usaha meningkatkan pemahaman dan kelancaran pelaksanaan Enakmen Hotel 2023, semua PBT kini giat mengadakan sesi libat urus awam dengan pemilik premis atau pengusaha hotel.

Katanya, edaran surat rasmi daripada kerajaan negeri mengenai pelaksanaan dan kaedah pembayaran CPT juga telah dipanjangkan kepada pemilik premis dan pengusaha melalui notis, risalah, e-mel, hebahan media sosial dan lawan sesawang rasmi 15 PBT di Perak.

“Pelaksanaan CPT pada kadar RM3 setiap bilik per malam untuk semua kategori hotel di negeri ini telah bermula 1 Januari lalu.

“Caj ini dikenakan kepada semua penginap yang menginap di hotel-hotel di Perak mengikut peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Hotel Perak 2024 yang ditetapkan di bawah Enakmen Hotel Perak 2023,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan laporan pada Januari lalu, dianggarkan sebanyak 160,000 daftar masuk hotel telah direkodkan.

“Pencapaian ini turut dipengaruhi oleh faktor cuti sekolah dan musim perayaan. Ini menunjukkan bahawa pengunjung memberi impak positif terhadap dasar pelancongan selamat melalui pelaksanaan Enakmen Hotel Perak 2023,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top