SETIAP tahun, ribuan umat Islam dari seluruh dunia berlumba-lumba menunaikan umrah pada bulan Ramadan terutama menjelang 10 malam terakhir.
Masakan tidak, keistimewaan yang dijanjikan bagi ibadah itu sangat luar biasa sehinggakan Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila datang bulan Ramadan, maka laksanakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan menyamai haji bersamaku.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Dr Nurzahidah Jaapar menjelaskan, hadis itu menunjukkan fadilat besar menunaikan umrah pada bulan Ramadan yang menyamai nilai ibadah haji di sisi ALLAH SWT.

DR NURZAHIDAH
Bagaimanapun, beliau menegaskan, ia tidak menggugurkan kewajipan haji bagi mereka yang berkemampuan.
“Ketahuilah bahawa menunaikan umrah dalam bulan Ramadan bukan sahaja menjanjikan pahala yang besar, tetapi turut mengundang keberkatan yang luar biasa.
“Ibadah dalam bulan Ramadan secara umum mempunyai keistimewaan tersendiri kerana bulan ini adalah penghulu segala bulan yang dipenuhi rahmat dan keampunan,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Apatah lagi, jelas ahli akademik itu, Ramadan adalah masa terbaik untuk meraih imbalan berganda kerana setiap ibadah dilipatgandakan pahalanya termasuklah solat, sedekah dan umrah.
Dr Nurzahidah kemudian menceritakan kisah sahabat bernama Ummu Sinan Al-Ansariyah dan seorang wanita Ansar yang tidak dapat menunaikan haji lantaran kekangan dihadapi.
“Rasulullah SAW kemudian menyarankan Ummu Sinan dan wanita Ansar itu untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan kerana pahalanya menyamai pahala haji bersama.
“Kisah ini menunjukkan motivasi Rasulullah SAW kepada mereka yang tidak berpeluang menunaikan haji agar tetap meraih ganjaran besar dengan melaksanakan umrah pada bulan Ramadan.
“Oleh itu, sesiapa yang berkemampuan seharusnya merebut peluang ini,” ungkapnya.

MENUNAIKAN umrah dalam bulan Ramadan bukan sahaja menjanjikan pahala yang besar, tetapi turut mengundang keberkatan luar biasa. -Foto: CANVA
Keberkatan rezeki, ketenangan jiwa
Tidak cukup sekadar pahala, ujar Dr Nurzahidah, umrah dalam bulan Ramadan turut membawa keberkatan dalam kehidupan seseorang.
Rasulullah SAW bersabda: “Iringilah antara haji dan umrah kerana keduanya menghapuskan kefakiran dan dosa sebagaimana api menghilangkan karat besi, emas dan perak.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Melihat ungkapan hadis itu, ujar Dr Nurzahidah, jelaslah bahawa ibadah umrah juga menjadi sebab rezeki seseorang dilapangkan dan kehidupannya lebih diberkati.
Jelas beliau, ramai dalam kalangan jemaah yang mengakui mereka mengalami perubahan besar selepas menunaikan umrah, sama ada dari segi ketenangan hati, rezeki yang semakin murah atau kehidupan yang lebih teratur.
“Sejarah juga mencatatkan, ramai sahabat Rasulullah SAW yang mengalami perubahan besar selepas beribadah di Makkah dan Madinah.
“Antaranya Umar Al-Khattab RA yang sebelum memeluk Islam begitu terkenal dengan sifatnya yang tegas, tetapi selepas berhijrah ke Makkah dan menjalani ibadah, beliau menjadi seorang pemimpin yang penuh ketakwaan dan keadilan.
“Oleh itu, umrah Ramadan bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi juga satu perjalanan rohani yang mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan seseorang, baik dari segi spiritual mahupun material,” tuturnya.
Ditanya tentang perbezaan menunaikan umrah pada bulan Ramadan dan di luar bulan mulia itu, pensyarah tersebut menjelaskan, kedua-duanya tetap mempunyai kelebihan masing-masing.
Katanya, umrah Ramadan lebih istimewa kerana ganjarannya besar, selain berada dalam bulan yang penuh rahmat yang mana syaitan dibelenggu dan pintu syurga dibuka.

UMRAH Ramadan bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi juga satu perjalanan rohani yang mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan seseorang, baik dari segi spiritual mahupun material. -Foto: CANVA
Dalam pada itu, Dr Nurzahidah menjelaskan, menunaikan umrah dalam keadaan berpuasa memberi satu pengalaman rohani yang sangat mendalam.
Ini kerana berpuasa sambil menunaikan umrah akan membuatkan seseorang benar-benar merasai kebergantungan kepada ALLAH SWT, ungkapnya.
“Ketika tubuh berada dalam keadaan lemah, hanya ALLAH tempat untuk kita memohon kekuatan dan pertolongan.
“Dalam keadaan lapar dan dahaga, seseorang akan lebih banyak berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT. Ini adalah satu latihan rohani yang mendidik hati agar sentiasa bertawakal dan bersabar,” terangnya.
Kepada yang berkesempatan menjejaki Tanah Suci dalam bulan Ramadan, Dr Nurzahidah menyarankan agar mereka banyak meluangkan lebih banyak masa beribadah di dalam Masjidil Haram kerana ganjaran pahala yang sangat besar.
Rasulullah SAW bersabda: “Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 solat di masjid lain kecuali Masjidil Haram dan solat di Masjidil Haram lebih baik daripada 100,000 solat di masjid lain.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan At-Tabarani)
Tidak hairanlah mengapa ramai umat Islam sanggup berpusu-pusu untuk menunaikan solat dan beriktikaf di Masjidil Haram terutama dalam 10 malam terakhir Ramadan.
“Ini adalah peluang luar biasa untuk mencari keberkatan dan keampunan ALLAH SWT,” ungkapnya.
ANEKDOT
Tip kekal bertenaga laksanakan umrah ketika berpuasa
1. Bersahur
Untuk kekal bertenaga dan fokus ketika menunaikan umrah dalam keadaan berpuasa, jemaah perlu menjaga pemakanan dengan memilih makanan berkhasiat seperti kurma, oat dan protein semasa sahur serta minum air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi.
Rasulullah SAW bersabda: “Makan sahur kerana dalam sahur itu ada keberkatan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
2. Pengurusan tenaga yang baik
Pengurusan tenaga yang baik amat penting dengan memilih waktu yang sesuai untuk ibadah berat seperti sa’i dan memperuntukkan waktu rehat secukupnya.
3. Zikir dan doa
Kedua-dua amalan itu membantu dalam menguatkan kebergantungan kepada ALLAH, memberikan ketenangan serta kekuatan rohani.
4. Jaga keseimbangan fizikal dan spiritual
Dengan menjaga kedua-dua elemen itu, jemaah dapat menyempurnakan umrah dengan penuh kekhusyukan walaupun dalam keadaan berpuasa.