Penguat kuasa serbu Jalan Petaling, 5,500 barang tiruan disita

Penguat kuasa serbu Jalan Petaling, 5,500 barang tiruan disita

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 5,500 barangan disyaki tiruan bernilai RM360,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Op Putra di Jalan Petaling di sini, hari ini.

Operasi bersepadu itu dilakukan KPDN Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 3.30 petang.

Timbalan Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu yang menyasarkan penjualan barangan tiruan.

Katanya, pihaknya memeriksa 20 premis membabitkan lima stor yang dijadikan tempat penyimpanan dan penjualan barangan itu.

“Antara barangan yang disita merangkumi jam tangan, beg, kasut, selipar, dompet, topi dan tali pinggang. Barang berkenaan dijual pada nilai antara RM50 hingga RM450 bergantung kepada jenis dan kualiti barangan itu.

“Memandangkan ia lokasi yang kerap kita jalankan operasi membabitkan barangan tiruan, kita akan juga menyemak rekod lampau dan siasatan lanjut (kerana) ada premis yang berulang melakukan kesalahan sama.

“Bangunan dimiliki warga tempatan dan ia mungkin diusahakan oleh warga asing serta kita akan menyiasat perkara itu (termasuk pembabitan sindiket). Mereka dipercayai beroperasi dalam rangkaian sama,” katanya selepas operasi berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Sementara itu, Nurul Syarina berkata, sebanyak 107 kes direkodkan mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 membabitkan sitaan bernilai RM1.8 juta sejak 2023 hingga kini.

Menurutnya, operasi itu adalah kali kelima dijalankan susulan Jalan Petaling disenaraikan semula sebagai lokasi penjualan barangan tiruan terkemuka dalam United States Trade Representative (USTR) sejak 2023.

Justeru katanya, tindakan diambil untuk mengeluarkan nama Jalan Petaling daripada senarai itu kerana ia akan menjejaskan pelaburan negara terutama membabitkan pemilik cap dagangan di serata dunia.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top