harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun operasi pihak berkuasa Myanmar dan kerajaan Thailand giat dilaksanakan, masih ada kawasan yang menjadi kubu kebal sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 rakyat Malaysia terus terperangkap tanpa sebarang bantuan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan premis sindiket berkenaan masih beroperasi seperti biasa, malah mangsa terus dipaksa melakukan kegiatan penipuan dalam talian.
Menurutnya, masih terdapat sejumlah rakyat Malaysia terperangkap di kawasan berkenaan yang masih gagal ditembusi pihak berkuasa terbabit.
“Operasi yang dijalankan pihak berkuasa Myanmar masih belum menyeluruh. Dalam hal ini, ada kira-kira 20 rakyat Malaysia yang terperangkap. Kami minta bantuan tetapi tiada apa-apa.
“Mereka masih menjalankan operasi seperti biasa, seperti tiada apa-apa yang berlaku, dan masih ada rakyat Malaysia yang terperangkap,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya tidak menerima maklumat berhubung tindakan lanjut daripada pihak berkuasa Myanmar membabitkan kawasan-kawasan yang kebal berkenaan.
Katanya, sindiket berkenaan terus-menerus menekan keluarga mangsa dan meminta wang tebusan daripada mereka sehingga ada yang mencecah puluhan ribu ringgit.
“Perkara ini amat membimbangkan. Adakah operasi yang dijalankan ini benar-benar berlaku atau sekadar omong kosong?
“Jadi, kita mahu dedahkan kepada semua bahawa terdapat lagi scam compound yang beroperasi seperti biasa walaupun operasi dijalankan ke atas mereka,” katanya.
Hishamuddin berkata, pihaknya khuatir sekiranya pihak sindiket memindahkan rakyat Malaysia ke lokasi lain atau menyorokkan mereka sekiranya keluarga enggan membayar tebusan yang tidak masuk akal.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan Malaysia menubuhkan sebuah pangkalan data berhubung sindiket pemerdagangan manusia bagi menjejak rakyat Malaysia yang hilang tanpa jejak.
Pada masa sama, MHO juga menyarankan supaya pihak kerajaan mewujudkan saluran rasmi yang mudah diakses oleh orang awam bagi mengadu atau meminta bantuan berkaitan isu pemerdagangan manusia.
“Cara menghubungi itu mestilah mudah. Cara telefon agak sukar kerana mangsa susah untuk menelefon sebab sentiasa dipantau sindiket.
“Cara lebih baik adalah mewujudkan saluran WhatsApp atau Telegram rasmi di mana mangsa mudah berkongsi lokasi tempat mereka disembunyikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd