PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) tidak membincangkan hal berkaitan dasar agama Islam.
Menurutnya, jawatankuasa itu sebaliknya mencari jalan dan memberikan pandangan kepada Kabinet tentang kaedah terbaik memperkukuhkan perpaduan masyarakat berbilang agama di negara ini.
“Perkara itu selaras dengan fungsi utama penubuhan JK HARMONI iaitu secara bersama mencari nilai baik dalam setiap agama dan mengadakan aktiviti berunsur kesedaran serta keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat.
“Saya ingin jelaskan JK HARMONI langsung tidak bincang hal-hal dasar agama Islam sebab agama Islam di bawah Perlembagaan Persekutuan yang memang jelas di bawah kuasa sultan dan kerajaan negeri.
“Jadi bagaimana kita nak bincangkan tentang agama Islam dalam jawatankuasa ini sebab kuasa itu berada di bawah kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat dari Imam Besar Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Said Sabri di sini hari ini.
Katanya, jawatankuasa itu dianggotai para ulama dan ketua-ketua agama yang akan memainkan peranan memberikan penjelasan tentang isu berbangkit berkaitan agama serta mengajak masyarakat supaya tidak menghina agama lain.
Mohd Na’im berkata, sebagai contoh, ketua-ketua agama (dalam JK HARMONI) akan mengambil peluang berbincang jika ada isu yang melibatkan salah faham terhadap agama.
“Maka, kita harapkan mereka dapat memainkan peranan itu,” katanya.
Sebelum ini, seramai 25 tokoh agama dilantik sebagai ahli JK HARMONI dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.
Menurut jawatankuasa itu, mereka terdiri daripada 10 wakil agama Islam, empat wakil agama Buddha, empat wakil agama Kristian, dua wakil agama Hindu, satu wakil agama Sikh, dua wakil Tao, satu wakil Bahai dan wakil UNIFOR, Sarawak.
Pada masa sama, Mohd Na’im turut menasihatkan umat Islam di negara ini agar tidak terlalu beremosi dalam melihat kepada isu-isu perundangan agama yang kompleks serta sentiasa bersikap rasional dalam melontarkan sebarang pandangan termasuk di media sosial.
“Saya rasa ada beberapa salah faham berkaitan jawatankuasa ini, saya nak sebut di sini jawatankuasa ini bertujuan untuk mengharmonikan pengikut agama bukan untuk mengharmonikan agama,” katanya. – UTUSAN